
MIRI: Walaupun berdepan kesukaran akibat kerosakan generator di sekolah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Datuk Lawai Jau, Long San, Baram tetap menunjukkan semangat luar biasa apabila meneruskan pembelajaran pada waktu malam hanya berbekalkan cahaya lampu suluh dan lilin.
Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu tidak menjadikan kekurangan kemudahan sebagai alasan untuk berhenti berusaha, sebaliknya terus gigih menelaah pelajaran demi masa depan mereka.


SUASANA ketika pelajar menikmati juadah makan malam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, menzahirkan rasa simpati terhadap situasi yang dihadapi pelajar berkenaan, namun pada masa yang sama turut mengagumi ketabahan dan keazaman mereka.
“Saya benar-benar tersentuh melihat semangat anak-anak ini. Walaupun serba kekurangan, mereka tetap tekun menuntut ilmu.
Teruskan berusaha, jangan biarkan cabaran mematahkan semangat. Kesusahan hari ini akan menjadi tangga kepada kejayaan esok,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut memaklumkan akan berhubung dengan pihak berwajib bagi mencari penyelesaian segera terhadap masalah generator yang rosak itu agar pelajar dapat belajar dalam keadaan lebih selesa dan selamat.
Semangat juang pelajar di kawasan pedalaman ini wajar dijadikan inspirasi kepada semua, bahawa kesungguhan dan cita-cita mampu menewaskan segala kekurangan.
Oleh Adum Liu