GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) kini menguasai 80 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak. Ini setelah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti pembangkang yang telah dibubarkan secara rasmi 6 April lalu iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP). Kini hanya ada dua wakil pembangkang dari DAP dalam DUN dan seorang ADUN Bebas.
PDP adalah antara empat parti komponen dalam GPS. Tiga lagi ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Tiga ADUN PSB yang menyertai PDP adalah bekas Presidennya, Dato Sri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dan Baru Bian (Ba’Kelalan). Tempat duduk mereka juga akan berada di blok kerajaan apabila sidang DUN bermula 6 Mei ini.
Bagaimanapun, penggabungan parti politik bukan perkara baharu di Sarawak dan kini pula, timbul spekulasi kemungkinan PRS akan bergabung pula dengan PDP.
Felo Penyelidik, Institut Pengajian Borneo, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Madya Stanley Bye Kadam Kiai berkata, gabungan parti politik sudah lama berlaku di Sarawak untuk membentuk sebuah parti politik bagi membolehkan keupayaan melindungi, memelihara dan mempertahankan perjuangan, daripada identiti politik berasingan.
Katanya, parti PBB yang menjadi tulang belakang kerajaan GPS sekarang adalah gabungan Parti Bumiputera Rakyat Sarawak (Bumiputera) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka) menjadikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Mei 1973.
Katanya, sebelum itu parti Bumiputera adalah hasil gabungan Barisan Ra’ayat Jati Sarawak (BARJASA) and the Parti Negara Sarawak (PANAS) pada 1967.
“Salah satu tujuan utama sesebuah parti politik ialah untuk memperluaskan pengaruh bagi mendapat lebih kuasa politik untuk membentuk kerajaan.
“Pakatan politik pertama dibentuk di Sarawak bagi membolehkan pembentukan kerajaan negeri ialah selepas pilihan raya 1970 antara Perikatan Sarawak iaitu parti Bumiputera dan Pesaka, dengan Parti Bersatu Sarawak (SUPP).
“Malah, bukan perkara luar biasa pembubaran sesebuah parti politik seperti berlaku pada 1974 dengan terbubarnya parti Sarawak Chinese Association (SCA), parti komponen Perikatan Sarawak,” katanya kepada penulis.
PDP jadi lebih kuat dalam GPS
Dalam keadaan sekarang katanya, peralihan sokongan serta pembubaran PSB untuk menyertai PDP, akan menyebabkan tiada lagi parti berpengaruh serta kuat yang berupaya mencabar GPS pada pilihan raya negeri akan datang.
Beliau berkata dengan perubahan itu, PDP pimpinan Dato Sri Tiong King Sing akan menjadi PDP lebih kuat dan berpengaruh dalam GPS.
Dengan penyertaan ahli PSB termasuk tiga ADUN ke dalam PDP, PDP kini memegang sejumlah lapan kerusi DUN.
Ini termasuk Tasik Biru (Datuk Henry Harry Jinep), Krian (Jumaat Belik), Meluan (Roland Duat), Dudong (Tiong), dan Marudi (Datuk Dr. Penguang Manggil). Di peringkat parlimen, PDP mempunyai dua kerusi yang diwakili oleh Tiong (Bintulu) dan Datuk Anyi Ngau (Baram).
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 2021, PSB bertanding sebagai parti pembangkang dan memenangi empat daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, menerusi Soon Koh di Bawang Assan, Dr Rayong (Engkilili), Baru Bian (Ba’Kelalan) dan See Chee How (Batu Lintang). Pada Ogos 2022, See telah bertindak keluar dari PSB dan menjadi ADUN bebas dalam DUN Sarawak, yang kini sedang ‘dipikat’ oleh SUPP.
Bagaimana pula dengan cadangan supaya PRS bergabung dengan PDP? PRS kini mempunyai 11 kerusi DUN dan dua Ahli Parlimen iaitu di kerusi Parlimen Hulu Rajang melalui Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Kanowit melalui Dato Sri Aaron Ago Dagang.
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Larry Sng Wei Shien, yang mencadangkan penggabungan dua parti itu. Larry Sng yang juga Ahli Parlimen Julau dalam hantaran di Facebooknya baru-baru ini, berkata PDP dan PRS mempunyai hubungan sejarah dan penggabungan dua parti itu akan mengukuhkan lagi GPS dan perjuangan masyarakat Dayak.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof Madya Dr Novel anak Lyndon bagaimanapun berkata cadangan itu sukar untuk menjadi kenyataan atas dua sebab utama yang perlu diteliti, dirunding dan disepakati.
“Pertama kedudukan Presiden. Walaupun kedua-dua parti ini adalah parti serpihan SNAP (Parti Kebangsaan Sarawak), namun jika dilihat sejarahnya, perpecahan dalam SNAP hingga terbentuknya kedua-dua parti ini adalah disebabkan krisis kepemimpinan dan masalah dalaman parti.
“Adakah akar umbi PRS atau masyarakat Dayak sanggup menerima etnik Cina (dalam PDP) sebagai pemimpin mereka yang memperjuangkan agenda Dayakism?,” katanya.
Pada masa sama katanya, Presiden PDP, Tiong adalah Menteri Kabinet Persekutuan, manakala Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Kabinet negeri atau Persekutuan.
Sukar PRS gabung bersama PDP
Beliau berkata, dengan kedudukan Presiden PRS yang tidak ada jawatan ini, akan menimbulkan persepsi bahawa apabila kedua-dua parti ini bergabung, pastinya jawatan presiden akan menjadi permasalahan utama.
“Hal ini kerana presiden mempunyai kuasa untuk menentukan siapakah calon yang akan bertanding. Maka untuk kerusi PRS yang sedia ada dan kerusi yang telah kalah, pastinya calon-calon yang akan bertanding di kerusi ini akan ditentukan oleh presiden parti.
“Dalam keadaan sekarang jika gabungan itu berlaku, persepsi yang timbul ialah yang layak menerajui gabungan ini adalah Presiden PDP berdasarkan kedudukan beliau sebagai menteri Kabinet di peringkat Persekutuan,” katanya kepada penulis.
Isu kedua katanya, ialah sasaran pengundi atau fokus etnik kerana kedua-dua parti ini jika dilihat secara umumnya adalah sama iaitu merangkumi masyarakat Dayak di kawasan pinggir bandar, semi bandar dan luar bandar.
Katanya, isu kerusi dan isu lantikan politik serta isu lantikan ketua kampung pastinya menjadi isu nanti.
“Saya tidak merasakan PRS setuju dengan gabungan ini. Banyak kerugian daripada keuntungan jika kita lihat dari sudut politik tetapi kalau kita lihat dari sudut institusi, ia baik untuk kestabilan politik di Sarawak.
“Soal kuasa atau siapa yang lebih berkuasa dan juga soal etnik merupakan penghalang kepada penggabungan ini. Akhirnya yang menentukan ialah agenda parti atau agenda rakyat atau agenda negara/negeri,” katanya.
Dr Novel berkata, kalau agenda rakyat atau agenda negeri, maka gabungan PDP-PRS ini sesuatu yang baik kerana ia akan menguatkan perwakilan Dayak di DUN dan Kabinet atau jawatan lantikan politik dan juga jawatan di peringkat kampung.
Tetapi jika agenda parti katanya, ia merugikan kerana perwakilan PRS di DUN lebih banyak berbanding PDP.
“Harus diingat juga jawatan Timbalan Ketua Menteri pernah disandang oleh PRS melalui bekas Presidennya, mendiang Tan Sri James Jemut Masing dan Tan Sri Wiliam Mawan yang pada masa itu adalah Presiden PDP, hanya dilantik sebagai menteri.
“Kesimpulannya ialah watak-watak utama dalam kedua dua parti ini adalah orang sama. Kita boleh agak pergerakannya. Larry Sng juga adalah merupakan watak utama disebabkan ayahnya sebelum ini adalah dari SNAP masuk PBDS (Parti Bansa Dayak Sarawak).
“Adakah sekiranya gabungan ini berjaya, apakah Larry Sng akan ikut nanti… ini satu persoalan. Amat sukar untuk bergabung disebabkan perebutan kuasa kepemimpinan,” katanya.
Bagaimanapun, Prof. Madya Stanley Bye tidak melihat cadangan pergabungan PRS dan PDP akan berlaku.
“PDP dan PSB lebih berbentuk pelbagai kaum berbanding PRS,” katanya yang juga bekas Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian, UNIMAS.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.