Tiada kuota kaum, jantina, Sarawak pilih berdasarkan merit – Wilfred Yap

Facebook
WhatsApp
WILFRED Yap ketika mengupas pendekatan Sarawak yang mengutamakan prinsip meritokrasi dan keterangkuman dalam memastikan peluang pendidikan, kerjaya serta pembangunan terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan jantina.

KUCHING: Sarawak tidak perlu bergantung kepada kuota khusus berdasarkan kaum atau jantina bagi memastikan peluang yang adil kepada rakyat, sebaliknya mengutamakan prinsip meritokrasi yang menilai kelayakan, pencapaian dan kebolehan individu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang peserta sesi soal jawab pada Sesi Debat dan Dialog Terbuka bertajuk Kerajaan, Pembangkang, Semak dan Imbang di di Dewan Komuniti di sini malam tadi.

Pertanyaan berkenaan antara lain menyentuh hala tuju Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan kesinambungan kepimpinan politik negeri, khususnya membabitkan penglibatan golongan muda dan wanita, selain persoalan mengenai peluang serta halangan yang dihadapi kumpulan berkenaan dalam politik dan penggubalan dasar.

Menjawab perkara itu, Wilfred yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kota Sentosa berkata, pendekatan Sarawak tidak menetapkan kuota tertentu kerana peluang untuk maju terbuka kepada semua berdasarkan kelayakan dan prestasi.

SESI DEBAT… Sebahagian penonton yang hadir pada Sesi Debat dan Dialog Terbuka bertajuk Kerajaan, Pembangkang, Semak dan Imbang di Dewan Komuniti, Crown Square, Kuching, malam tadi.

“Dasar kita di Sarawak adalah inklusif. Jika anda berkualiti dan bagus dalam pekerjaan, anda akan diberi peluang untuk dinaikkan.

“Tidak semestinya perlu ada kuota 30 peratus untuk wanita atau peratus tertentu bagi kumpulan tertentu kerana apa yang kita tekankan ialah meritokrasi dan peluang yang terbuka,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan dalam sektor pendidikan turut menunjukkan golongan wanita kini mempunyai akses yang luas terhadap pendidikan tinggi, malah dalam bidang tertentu seperti undang-undang, jumlah wanita yang melanjutkan pengajian dilihat semakin meningkat.

Menurutnya, prinsip sama turut diterapkan dalam sistem pendidikan Sarawak apabila peluang melanjutkan pengajian tidak ditentukan berdasarkan kaum.

“Jika anda mendapat keputusan yang baik, tanpa mengira sama ada anda wanita, lelaki, Cina, Iban, Melayu atau Bidayuh, anda boleh memohon dan mendapat tempat.

“Ini adalah dasar keterangkuman yang kita laksanakan di Sarawak,” katanya.

Wilfred berkata pendekatan tersebut mencerminkan model pentadbiran Sarawak yang menurutnya mengambil kira keadaan serta keperluan khusus negeri, termasuk dalam memastikan rakyat daripada pelbagai latar belakang dapat mengambil bahagian dalam pembangunan.

Katanya, prinsip keterangkuman bukan sahaja perlu dilihat dari sudut representasi, tetapi turut diterjemahkan melalui dasar yang memberi ruang kepada rakyat untuk mendapatkan pendidikan, peluang kerjaya dan menyumbang kepada pembangunan negeri.

Beliau turut menyentuh dasar pendidikan tinggi percuma Sarawak sebagai antara pendekatan yang menurutnya mencerminkan usaha kerajaan negeri menyediakan peluang pendidikan secara lebih inklusif kepada rakyat.

Dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), beliau berkata, Sarawak telah mengiktiraf kelayakan berkenaan bagi tujuan pendidikan di negeri ini.

Katanya, bagi pemegang UEC yang mahu menyertai perkhidmatan awam negeri, syaratnya ialah memperoleh sekurang-kurangnya gred C dalam Bahasa Melayu.

“Di Sarawak, kita mengiktiraf UEC. Jika mahu menyertai perkhidmatan awam, hanya perlu mendapat gred C dalam Bahasa Melayu. Itu sahaja,” katanya.

Wilfred berkata, perbezaan pendekatan antara Sarawak dan Semenanjung perlu difahami berdasarkan kedudukan serta konteks politik dan pentadbiran negeri itu sendiri.

Menurutnya, Sarawak mempunyai dasar dan hala tuju tersendiri yang perlu diperkukuh menerusi kesatuan rakyat dalam perkara yang menyentuh kepentingan negeri.

Beliau berkata, kesatuan berkenaan penting khususnya dalam memperjuangkan kepentingan Sarawak di peringkat Persekutuan, termasuk perkara berkaitan hak negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini bukan hanya mengenai politik. Kita perlu menunjukkan bahawa Sarawak bersatu dalam perkara yang penting kepada negeri ini dan kita mahu hak yang telah diperuntukkan kepada Sarawak dipenuhi,” katanya.

Dalam pada itu, Wilfred menegaskan kesinambungan pembangunan Sarawak perlu disokong dengan kepimpinan yang mampu mempertahankan kepentingan negeri, di samping memastikan dasar yang telah dilaksanakan terus memberi manfaat kepada rakyat.

Sesi berkenaan turut menampilkan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan dikendalikan moderator Geoffrey Tang.

Oleh Afiq Sallehi