Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Tiada komitmen 1/3 kerusi Parlimen, Sarawak tunggu
  • KOLUMNIS

Tiada komitmen 1/3 kerusi Parlimen, Sarawak tunggu

Utusan Sarawak 8 hours ago

DI Kota Kinabalu Ahad lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi bahawa secara dasarnya Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah bilangan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak mengambil kira jumlah pengundi di kedua-dua negeri ini.

Namun, kata Perdana Menteri setakat ini tiada komitmen untuk meningkatkan jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak sehingga satu pertiga daripada keseluruhan kerusi, ‘tetapi kerajaan komited untuk menambah bilangan kerusi mengikut keperluan’.

Difahamkan, kali pertama Anwar menyebut pendirian penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak itu ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya pada 12 September lalu.

Perkara sama diulanginya ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan bersempena dengan 27 tahun reformasi, di Tawau 26 September lepas.

Tidak disentuh secara terbuka ketika itu mengenai tuntutan satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen dari Sarawak dan Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

PINDAAN itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat jika mahu satu pertiga kerusi dari kedua-dua negeri ini.

Bagaimanapun dalam jawapan lisan yang dipaparkan dalam laman sesawang Parlimen Malaysia pada 15 Oktober lepas, Perdana Menteri menyatakan beliau mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk mengadakan perbincangan bersama Jabatan Peguam Besar Sabah dan Jabatan Peguam Besar Sarawak bagi meneliti semula tuntutan berhubung pertambahan satu pertiga Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak berdasarkan sudut perundangan.

Anwar dilaporkan berkata perkara itu dibincangkan pada mesyuarat MTPMA63 pada 12 September 2025, iaitu merujuk pada pertemuan di Petra Jaya.

Perkara lain yang turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan telah pun dipersetujui adalah tuntutan mengenai sempadan laut, royalti minyak dan duti setem.

Setakat ini belum ada maklum balas secara rasmi atau terbuka hasil perbincangan antara Jabatan Peguam Negara dengan Jabatan Peguam Besar Sabah dan Jabatan Peguam Besar Sarawak berkisar kepada persoalan 35 peratus kerusi Parlimen untuk kedua-dua negeri ini.

Mungkin perbincangan itu sedang berjalan dan diharap boleh dikemas kini pada mesyuarat MTPMA63 akan datang.

TIDAK RUMIT

Daripada pandangan kasar, isu ini kelihatan tidak begitu rumit iaitu ‘straight forward’ kerana sudah termaktub mengikut MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

Untuk memenuhi 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, Sarawak dan Sabah perlu tambahan 21 kerusi lagi, menjadikan jumlahnya 77 kerusi Parlimen.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbual bersama wakil media ketika majlis Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah Bersama Perdana Menteri di Kota Kinabalu Ahad lalu. Pada majlis itu, beliau menjelaskan keputusan untuk menambah jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak sudah menjadi satu dasar untuk dilaksana kerajaannya. Foto Bernama.

Tetapi jika kerusi Parlimen di negeri-negeri Semenanjung turut bertambah pada masa akan datang, ukurannya ialah kekal 35 peratus, sekali gus mengkehendaki kerusi Parlimen di Sarawak, Sabah secara automatik juga ditambah supaya tidak kurang satu pertiga.

Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi atau 25 peratus adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah. Maknanya, masih kurang 10 peratus untuk kuota satu pertiga atau 35 peratus.

Jalan terbaik, ikut sahaja perjanjian MA63 itu dan lakukan pindaan berkaitan untuk dibawa ke Parlimen.

Namun, pada pandangan peribadi saya, halangan terbesar nanti ialah pindaan itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat jika mahu satu pertiga kerusi dari kedua-dua negeri ini.

Bab mendapatkan ‘persetujuan’ majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat inilah sesuatu yang mencabar dan mungkin menjadi ‘halangan terbesar’ jika sebahagian Ahli Parlimen (MP) terutama dari Semenanjung tidak menyokongnya.

Al-maklumlah…menguasai satu pertiga majoriti di Dewan Rakyat mungkin menjadikan Sarawak dan Sabah ‘kingmaker’ sebagai penentu kelulusan sebarang pindaan undang-undang, malah jauh daripada itu, penentu jawatan Perdana Menteri?

“KALAU mereka bersedia, kita runding… kalau tidak, kita tunggu,” kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada pemberita selepas merasmikan Hari Integriti Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) Isnin lalu.

Kita memahami hasrat Perdana Menteri mahu memenuhi janji MA63 tetapi pada masa sama, Anwar juga berdepan tekanan bukan sahaja daripada Ahli Parlimen kerajaan, malah dari parti pembangkang di Semenanjung.

Setakat ini, hanya Ahli Parlimen dari Borneo yang melaungkan isu ini di Dewan Rakyat selain sindiran, bantahan melalui strim Podcast bekas pemimpin politik tertentu.

Betul, terpulang kepada SPR untuk melaksanakan persempadanan semula tetapi SPR cuma agensi pelaksanaan. Jika Kerajaan Persekuan atau Dewan Rakyat meluluskan pindaaan itu dengan majoriti dua pertiga, SPR wajib melaksanakannya.

Diharapkan rundingan untuk Sarawak dan Sabah memperoleh satu pertiga kerusi Parlimen ini, membuahkan hasil.

‘NANTI KITA RUNDING’

“Kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersetuju menambahkan kerusi Parlimen… sama ada dapat memenuhi satu pertiga, nanti kita akan runding.

“Kalau mereka bersedia, kita runding… kalau tidak, kita tunggu,” kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada pemberita selepas merasmikan Hari Integriti Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) Isnin lalu.

Kuota satu pertiga inilah isu sebenar bukan lagi penambahan kerusi Parlimen kerana berdasarkan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, sebarang kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya hanya boleh dilakukan dalam masa lapan tahun sekali. Ini sudah termaktub dalam perlembagaan.

Kajian semula persempadanan yang terakhir untuk Sarawak adalah pada 2015 dan Sabah pula pada 2017. Maknanya untuk Sarawak, ia sudah melebihi lat lapan tahun iaitu berakhir pada 2023, manakala Sabah akan berakhir pada tahun ini.

Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan sebagai berkata bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan kajian semula itu dalam tempoh terdekat untuk Sarawak.

Ini selaras dengan Perkara 113 Fasa (2) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan semakan dilakukan setiap lapan tahun.

Urusan SPR untuk melakukan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah sesuatu formaliti dan ia perlu dipenuhi oleh agensi itu.

Soal nak tambah kerusi atau tidak sebenarnya bukan isu sebenar. Isunya ialah perjanjian dahulu kala. Janji mesti ditepati. Jika tidak Malaysia tidak wujud.

Yang hampir pasti, sebarang pertambahan kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah, tidak mungkin sempat digunakan pada pilihan raya umum ke-16 (PRU-16) akan datang kerana terpaksa melalui Dewan Rakyat, bagi pembentangan bacaan kali pertama, kedua, bahas dan bacaan kali ketiga jika dilulus dengan majoriti dua pertiga.

Selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, maka ia diwartakan, disusuli tugas formaliti SPR. Mungkin untuk PRU-17 atau PRU-18?

PRU-16 perlu diadakan sebelum Disember 2027, dan tidak mustahil ia diadakan lebih awal, seawal tahun depan 2026. Kali terakhir PRU diadakan ialah pada 19 November 2022.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Pertembungan adik-beradik dalam PRN Sabah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.