ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Di Sarawak setakat ini, tiada kes dijangkiti semula Covid-19 setelah pulih, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata insiden itu berbeza dari negara jiran Brunei dengan 17 kes jangkitan semula dilaporkan.
“Kita telah mengumpulkan maklumat ini dan menyampaikannya kepada pakar perubatan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah supaya mereka dapat melihat lebih lanjut mengenai masalah ini,” katanya pada sidang media laporan harian Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.
Menurut Sim, bagi kes aktif Covid-19 di Sarawak, hakikatnya hanya sekitar lebih 100 kes aktif berbanding lebih 300 aktif yang dilaporkan.
“Pesakit yang sembuh dianggap pulih sepenuhnya setelah mereka keluar dari hospital dan kemudiannya keluar dari ‘Step Down Centre’.
“Salah satu sebabnya kenapa mereka perlu ke pusat itu kerana masih perlu menjalani kuarantin selama 14 hari lagi, dan mereka tidak dapat bertemu dengan sesiapa pun,” katanya.
Hal ini juga bukan kerana mereka yang telah diuji negatif dan harus menjalani kuarantin selama 14 hari lagi kerana mereka tidak sihat, tetapi ia perlu untuk mereka diasingkan dalam satu tempoh lagi.
Manakala, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menambah sebab itulah mengapa perlu ada dua ujian negatif untuk memastikan individu tersebut bebas daripada wabak ini.
“Sekiranya orang yang dibenarkan keluar dan dijangkiti semula, itu akan menjadi masalah. Itulah sebabnya mengapa kita mempunyai tempat yang disebut ‘Step Down Centre’ di Kompleks Belia dan Sukan.
“Kita harus berhati-hati dalam hal ini dan itulah prinsipnya. Saya berharap orang awam dapat memahami dan tidak perlu untuk mengutuk Hospital Umum Sarawak dan petugas barisan hadapan kerana mereka adalah pahlawan kita dan telah banyak berkorban untuk kita,” tegas Uggah.