
GEORGE TOWN, 15 Jun -- Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancang Bandar dan Desa Jagdeep Singh Deo (kanan) bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Yew Tung Seang (tiga, kanan) melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di kedai gunting rambut Son&Dad di Lebuh Acheh hari ini. Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun lepas sehingga 31 Ogos membenarkan kedai gunting rambut beroperasi dengan mematuhi tiga SOP tambahan iaitu memakai pelindung muka, apron dan sarung tangan yang perlu ditukar untuk setiap pelanggan baharu selain mematuhi SOP sedia ada PKPB iaitu menyediakan pengsanitasian tangan dan memeriksa suhu badan termasuk rekod butiran pelanggan. -- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

GEORGE TOWN: Tiada kenaikan harga perkhidmatan gunting rambut yang ketara di Pulau Pinang sejak sektor itu dibenarkan beroperasi semula selain penyedia perkhidmatan juga mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata berdasarkan pemeriksaan ke atas 15 premis setakat ini, pihaknya mendapati pengusaha mampu menyerap kos tambahan susulan penguatkuasaan SOP terbabit.
“Setakat semamlam KPDNHEP Pulau Pinang tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga bagi perkhidmatan gunting rambut di negeri ini,” katanya kepada Bernama, di sini semalam.
KPDNHEP sebelum ini dilaporkan hanya menbenarkan penyedia perkhidmatan gunting rambut mengenakan caj tambahan untuk dua barangan kegunaan pelanggan iaitu alas gunting rambut pakai buang dan set sarung tangan.
Operator juga perlu memastikan caj tambahan itu berpatutan dengan merujuk kos belian bagi memastikan pengguna tidak terbeban.
Mohd Ridzuan turut mengulangi ingatan bahawa tindakan tegas bakal diambil terhadap peniaga yang didapati menaikkan harga barang dan perkhidmatan sewenang-wenangnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata ada keperluan untuk penyedia perkhidmatan gunting rambut menjalani saringan Covid -19.
“… memandangkan dah ada 40 kes positif (Covid -19) kontak rapat di kedai gunting rambut seluruh negara, saya akan tanya Majlis Keselamatan Negara sama ada perlu (penyedia perkhidmatan gunting rambut) turut menjalani ujian tersebut,” katanya. — Bernama