SIMANGGANG: Tiada jalan pintas untuk mencapai sesuatu kejayaan, dalam sukan seperti tinju dan disiplin adalah kunci utama untuk mengecapinya.
Petinju negara, Daeloniel McDelon Bong atau lebih mesra dengan gelaran ‘Kilat Boy’ berkata para atlet sukan tinju perlu mempunyai mentaliti yang kuat, terus berusaha walau sesukar mana sekalipun cabaran yang mendatang.
“Saya bermula daripada seorang atlet muda yang penuh impian hingga menjadi juara negara. Disiplin yang ketat dalam latihan, pengorbanan peribadi dan kesungguhan untuk tidak pernah berputus asa walaupun menghadapi pelbagai rintangan,” katanya.
Dalam pada itu, penganjuran Program Budaya, Sahsiah, dan Terampil bersama ikon tinju Daeloniel Mcdelon ‘Kilat Boy’ telah diadakan di Dewan Seri Lemanak, baru-baru ini adalah bagi meningkatkan inspirasi belia dalam sukan tinju.
Program ini dianjurkan sebagai sebahagian inisiatif Program Belia Unggul, Komuniti Utuh dan Teguh (BUKUT) bertujuan memperkukuhkan sahsiah, minat dan kemahiran belia, khususnya dalam arena sukan tinju.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak ini menarik penyertaan luas daripada golongan belia, jurulatih, dan ahli-ahli Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman, serta masyarakat tempatan. Dihadiri oleh jemputan kehormat, program ini menjadi titik tumpuan untuk membina inspirasi dan semangat juang dalam kalangan belia.
Menurut Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya pembabitan belia dalam sukan sebagai alat untuk pembangunan diri dan sahsiah yang unggul.
Beliau menyatakan bahawa sukan, terutamanya sukan tinju, tidak hanya membina kekuatan fizikal, tetapi juga membina minda yang fokus, disiplin, dan semangat juang tinggi.
“Saya berharap agar lebih ramai belia di Sri Aman dapat memanfaatkan peluang ini untuk memupuk minat dalam sukan tinju, di samping memperkukuhkan karakter dan nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian,” katanya.
Selain fokus kepada prestasi dalam sukan, program ini juga menekankan pentingnya nilai sahsiah dan adab dalam membentuk belia yang berkualiti.
Pengarah Urusan Megah Armada Sdn. Bhd., Awangku Hafizi Awang Azahari turut memberi penekanan terhadap adab dan hormat-menghormati dalam kalangan belia.
Ini kerana kejayaan dalam sukan tidak hanya diukur melalui pencapaian di gelanggang, malah juga melalui cara seseorang membawa diri dan interaksi mereka dengan masyarakat.
“Kejayaan dalam hidup bukan sahaja tentang apa yang kita capai, tetapi bagaimana kita mencapai matlamat tersebut dengan adab dan hormat,” katanya.
Jurulatih dan ahli-ahli TBBC yang turut hadir memuji program ini sebagai salah satu usaha yang signifikan untuk mempromosikan sukan tinju di Sri Aman.
Oleh ADI SAFARMAN