Mohamed Salah menuduh Liverpool ‘mengorbankannya’ selepas beliau diletakkan di bangku simpanan dalam keputusan seri 3-3 menentang Leeds minggu lalu. Foto AFP
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool FC, Arne SloT menegaskan tiada “isu perlu diselesaikan” selepas memasukkan Mohamed SalaH sebagai pemain gantian dalam kemenangan 2-0 ke atas Brighton & Hove Albio awal pagi ini seminggu selepas penyerang itu mengeluarkan kenyataan beremosi mengenai kelab.
Hugo Ekitike menjaringkan gol di Anfield seawal 46 saat permainan, manakala Salah yang dimasukkan pada minit ke-26 membantu Ekitike menjaringkan gol kedua setengah jam sebelum tamat perlawanan.
Salah sebelum ini menuduh Liverpool “mengorbankannya” selepas beliau diletakkan di bangku simpanan dalam keputusan seri 3-3 menentang Leeds UniteD minggu lalu — perlawanan ketiga berturut-turut beliau tidak berada dalam kesebelasan utama.
Beliau turut berkata hubungannya dengan Slot tidak wujud ketika bercakap kepada wartawan selepas perlawanan di Elland Road.
Salah kemudian tidak disenaraikan untuk aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu menentang Inter Milan yang dimenangi Liverpool 1-0, dan menjadi tumpuan pemerhatian menjelang perlawanan pagi ini di Anfield.

Slot berkata pada sidang media pra-perlawanan Jumaat bahawa beliau akan bercakap dengan penyerang itu kemudian pada hari berkenaan, sambil menambah: “Saya tiada sebab untuk tidak mahu dia kekal.”
Bercakap selepas kemenangan ke atas Brighton, Slot sekali lagi menegaskan tiada “isu perlu diselesaikan” dengan Salah, yang sepakan sudutnya disudahkan Ekitike pada minit ke-60.
“Bagi saya dia kini sama seperti pemain lain,” katanya. “Anda bercakap dengan pemain jika gembira atau tidak gembira dengan sesuatu, tetapi tiada apa untuk saya perkatakan selepas apa yang berlaku menentang Leeds.”
Slot mengesahkan Salah diketepikan daripada skuad ke Itali susulan wawancara berkenaan.
“Setiap pengurus membuat keputusan berbeza… tetapi dia tidak terlibat dalam perlawanan menentang Inter Milan dan saya telah bercakap dengannya semalam,” katanya.
Tindakan lebih lantang daripada kata-kata
“Saya biasanya tidak pernah mendedahkan apa yang kami bincangkan, dan saya tidak akan membuat pengecualian kali ini, tetapi saya fikir tindakan lebih lantang daripada apa yang diperkatakan.
“Dia kembali berada dalam skuad dan apabila saya perlu membuat pertukaran pertama, saya memasukkannya. Dan dia beraksi seperti yang setiap penyokong — termasuk saya — mahu lihat hari ini.”
Salah, 33, yang menandatangani kontrak baharu dua tahun bersama Liverpool pada April, akan berangkat menyertai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Tempoh ketiadaannya bergantung kepada sejauh mana Mesir dalam kejohanan di Maghribi itu, dengan perlawanan akhir dijadualkan pada 18 Januari.
Penyerang itu, yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke liga kaya Liga Pro Saudi (SPL) dilaporkan mengundang keluarganya menyaksikan perlawanan menentang Brighton ketika spekulasi mengenai masa depannya berlegar.
Slot ketawa apabila ditanya sama ada perlawanan itu mungkin yang terakhir buat Salah bersama kelab.
“Dia bukan satu-satunya pemain yang berjalan mengelilingi padang mengucapkan terima kasih kepada penyokong, kerana penyokong memang layak menerima ucapan terima kasih daripada kami,” katanya.
Pengendali dari Belanda itu menambah: “Mo akan menyertai AFCON sekarang, saya harap dia akan beraksi cemerlang, dan sementara itu kami perlu beraksi di sini tanpa dia, dengan jumlah pemain yang tidak begitu ramai tersedia ketika ini.” — AFP