Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • STAIL
  • Tiada istilah terlambat untuk menuntut ilmu
  • STAIL

Tiada istilah terlambat untuk menuntut ilmu

Utusan Sarawak 5 years ago
KELAS Dewasa di Rumah Sigan Ak. Bawin di Sungai Muam.

Better late than never. Itu kata pepatah Inggeris yang menggambarkan bahawa jika inginkan melakukan sesuatu, teruskan usaha itu tanpa mengira faktor usia, bila dan di mana, sehingga membuahkan hasil.

Inilah yang dilakukan oleh para pelajar Kelas Dewasa di Marudi, Baram apabila belajar mengenal huruf dan angka pada usia agak lanjut.  Kegigihan dan kesanggupan mereka untuk menjadi celik huruf memang harus diberi pujian kerana sanggup membahagikan masa dengan tuntutan tanggungjawab sebagai ibu, suri rumah, peniaga, petani dan sebagainya.

Mereka mungkin antara yang tidak berpeluang memperolehi pendidikan formal semasa zaman muda tetapi ternyata usia bukan penghalang bagi mereka untuk menguasai ilmu membaca, menulis dan mengira (3M) pada usia sekarang.

“Pada mulanya memang segan dan payah untuk memulakan usaha ini tetapi melihat keterujaan rakan lain, saya ingin turut sama,” kata Isah Udin, 64, salah seorang pelajar Kelas Dewasa ini.

Malah katanya, pada awalnya hendak memegang pensil pun teramat kekok dan susah. Bersama yang lain, Isah sedang berusaha memajukan diri, terutama untuk memastikan dirinya celik huruf dan celik angka.

Justeru dia gigih untuk menguasai 3M memandangkan tempoh masa yang ditetapkan untuk sebuah kelas hanya dua tahun sahaja.

“Tiada apa yang hendak dimalukan bila baharu  belajar ABC atau menulis pada usia kami ini.  Kami tiada rezeki untuk ke sekolah semasa seperti orang lain semasa kecil tetapi kami masih boleh belajar sekarang.

“Tiada istilah terlambat untuk belajar kerana di dalam Islam ada menyebut, manusia belajar dari buaian hingga ke liang lahad,” kata Hajijah Arsat, 65.

Memang benar, tiada yang terlambat asalkan ada usaha.  Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.  Kini Hajijah sudah boleh mengenal huruf dengan baik dan sedang dalam proses untuk membaca pula.

Isah dan Hajijah merupakan antara 106 pelajar Kelas Dewasa atau juga dikenali sebagai Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) di Marudi, di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

PLF memberi peluang kepada golongan dewasa, belia dan beliawanis serta  remaja yang tercicir persekolahan untuk menjadi celik huruf dan celik angka.

Menurut Pemaju Masyarakat PLF, Rita Sultan Abdullah, terdapat 12 kelas PLF di sekitar Marudi dengan melibatkan tiga tenaga pengajar.

Antara kriteria untuk peserta yang ingin menyertai kelas dewasa adalah mereka pernah bersekolah tetapi tidak menamatkan sesi persekolahan atau tidak pernah ke sekolah langsung.

Peluang juga diberikan kepada golongan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti tiada sijil lahir dan tiada kad pengenalan .

Had umur adalah dari 7 tahun sehingga 60 tahun tetapi tertakluk kepada daya penglihatan  atau kemampuan peserta sendiri.

“Kelas untuk  setiap pelajar diadakan selama tiga jam, sehari dalam seminggu dan  tunjang utama kelas ialah 3M” katanya sambil menambah, antara skop wajib diajar ialah aspek Kesihatan, Kesedaran Sivik, Ekonomi, Perlembagaan dan Kekeluargaan.

Rita menambah kata, dengan pelaksanaan Kelas Dewasa ini, KEMAS bermatlamat mengurangkan kadar buta huruf dan seterusnya mencapai kadar sifar buta huruf di kalangan warga pedalaman negeri ini.

SEJARAH KELAS DEWASA

Sejarah kelas ini bermula dalam tahun 1961 apabila Bahagian  Masyarakat menubuhkan Kelas Pelajaran Dewasa yang bertujuan untuk membasmi buta huruf di Semenanjung Malaysia .

Selepas tahun 1970 ,kegiatan ini telah memberi tumpuan khusus di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kadar buta huruf yang tinggi.

Lanjutan daripada Kelas Dewasa ini, Rancangan Pedoman Tugasan (RPT) diwujudkan dengan  matlamat yang sama iaitu  membasmi buta huruf melalui konsep 3M.

“Sementara itu PLF  pula merupakan lanjutan daripada RPT. Ia merupakan aktiviti Pendidikan Tidak Formal yang memberi peluang golongan sasaran bagi mendapat ilmu pengetahuan . Kini  kelas dewasa hanya dikendalikan di Sabah dan Sarawak sahaja,” tambah Rita.

Sejarah Kelas Dewasa di Marudi bermula dengan  Kelas Buta Huruf yang dibuka pada 1 Disember 1991 dengan hanya melibatkan seorang tenaga pengajar,  Siti Salmah Abdullah yang telah mewujudkan kelas pertama di  Rumah Majilet Sungai Meno Bakong .

Oleh Haini Darani

Continue Reading

Previous: Mak Ak Kit kongsi hasil tani semasa
Next: Gajet moden ubah kehidupan manusia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.