BINTULU: Setiap jabatan dan agensi kerajaan di Sarawak berpegang teguh kepada prinsip ‘Sarawak First’ dalam menjalankan tugas serta memberi perkhidmatan kepada rakyat, tegas Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato’ Seri Tiong King Sing.
Tiong berkata demikian menepis sebarang dakwaan bahawa pentadbiran kerajaan melayan rakyat berdasarkan perbezaan politik atau kawasan yang ditadbir oleh pembangkang.
Menurutnya, pentadbiran kerajaan tidak pernah dipengaruhi oleh politik kepartian dan pengagihan bantuan serta perkhidmatan sentiasa dilakukan secara saksama tanpa pilih kasih.
“Sumber yang disalur atau diperuntukkan tidak membezakan rakyat hanya kerana sesebuah kawasan itu dikuasai pembangkang,” katanya dalam kenyataan menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
Tiong dalam hantaran tersebut turut berkongsi pengalaman selama lebih 20 tahun sebagai Ahli Parlimen Bintulu, di mana pegawai kerajaan tempatan sentiasa bekerjasama erat dengannya untuk memajukan kawasan dan menangani isu rakyat.
“Walaupun beberapa Kerusi DUN di bawah Parlimen Bintulu pernah disandang oleh pembangkang, pegawai kerajaan sentiasa mengekalkan misi mereka untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujar Tiong sambil menegaskan bahawa tiada perbezaan dalam layanan isu tempatan berdasarkan fahaman politik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Tiong juga mengakui bahawa dalam kalangan ramai pegawai kerajaan, mungkin ada segelintir yang melakukan kesilapan.
Bagaimanapun, katanya, langkah pembetulan perlu diambil bagi mempertingkat profesionalisme mereka.
“Mana-mana pegawai yang melakukan kesilapan harus diperbetulkan.
“Ini adalah cabaran yang perlu ditangani bersama oleh kerajaan di kawasan pemerintah dan pembangkang,” jelasnya.
Dalam kenyataannya, Tiong turut menggesa ahli politik agar tidak menjejaskan lawan mereka dengan membuat tuduhan tidak berasas terhadap pegawai kerajaan.
Beliau menekankan pentingnya kerjasama erat antara ahli politik dan agensi kerajaan untuk menyelesaikan isu rakyat dengan efektif.
“Sesiapa yang komited untuk berkhidmat harus terlibat secara aktif dengan masyarakat, bukan sekadar bergambar atau memberi kata-kata manis.
“Hanya dengan kerjasama erat antara ahli politik dan agensi kerajaan, kita mampu membawa pembangunan serta kesejahteraan hidup yang lebih baik kepada rakyat,” katanya lagi.
Beliau menyeru semua pihak agar mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat dan meletakkan kepentingan masyarakat mendahului kepentingan parti politik.
Oleh Carolyne Utih