Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Tiada campur tangan dalam urusan badan kehakiman – PM Anwar
  • SEMASA

Tiada campur tangan dalam urusan badan kehakiman – PM Anwar

Utusan Sarawak 16 hours ago
GAMBAR hiasan.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak campur tangan dalam urusan institusi kehakiman, termasuk soal berhubung pelantikan hakim mahupun sebarang keputusan mahkamah.

Beliau berkata semua pelantikan dan penyambungan jawatan atau lanjutan perkhidmatan, termasuk hakim, perlu mengikut prosedur seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau sudah faham Perlembagaan, sudah tahu proses dia. Ada suruhanjayanya, ada Perdana Menterinya, ada Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau tengok – pelantikan-pelantikan baharu, (senarai calon diserahkan kepada) Yang di-Pertuan Agong kemudian dibentangkan untuk perbincangan dengan Majlis Raja-Raja. Jadi semua hal itu harus diikuti,” katanya pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Anwar berkata sebarang pelantikan atau penyambungan jawatan yang dilakukan atas desakan kumpulan tertentu akan mencemari integriti institusi kehakiman.

“Saya rasa apabila institusi seperti ini dipolitikkan, keputusan yang dibuat mencerminkan seolah-olah berlaku pengkhianatan,” katanya.

Sementara itu Anwar berkata sebarang keputusan badan kehakiman adalah hak mutlak mereka, dan beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang keputusan kehakiman.

“Isu yang dibangkitkan saya dengar… Saya tidak pernah campur dalam isu penghakiman. Apa yang diputuskan (mahkamah) itu keputusan mereka, tetapi itu pun dipolitikkan,” katanya.

Anwar turut menegur kecenderungan masyarakat untuk menilai keputusan kehakiman mengikut kecenderungan politik masing-masing.

Beliau merujuk kepada beberapa kes berprofil tinggi baru-baru ini, termasuk keputusan berhubung kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita kena hormat hakim dan keputusan yang dibuat. Saya tengok ada pandangan berbeza. Ada orang sokong DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) di sini, tetapi tidak sokong di sana (bagi kes berlainan).

“Kita tidak boleh  begitu. Jadi harus ingat kita kena pertahankan (integriti badan kehakiman), bukan ikut selera politik,” katanya.

Pada 20 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Najib daripada tiga pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta.

Hakim K.Muniandy membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melepas tanpa membebaskan Najib selepas mendapati pihak pendakwaan belum bersedia meneruskan perbicaraan yang tertangguh sejak 2019. 

Pada 25 Jun pula, Mahkamah Rayuan Putrajaya membebas dan melepaskan  Syed Saddiq daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah (CBT), salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Nov 2023.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Menteri Luar Negeri II Brunei tiba di Kuching untuk lawatan rasmi
Next: Fadil pangku jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman kuat kuasa esok

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.