
KUCHING: Perlembagaan Persekutuan disifatkan sebagai undang-undang tertinggi negara dan tiada mana-mana akta Parlimen boleh mengatasi hak Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menegaskan bahawa sebarang undang-undang yang bercanggah dengannya adalah terbatal setakat mana ketidakselarasan itu berlaku.
“Ini bermakna Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74) sama sekali tidak boleh mengatasi hak Sarawak dan Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan serta MA63,” tegasnya dalam kenyataan, Dewan Negara.
Menurut beliau, di bawah Perkara 95D, mana-mana akta Parlimen yang menyentuh perkara dalam Senarai Negeri seperti tanah dan sumber asli tidak akan berkuat kuasa di Sarawak kecuali setelah diterima pakai oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Oleh itu, walaupun Ahli Parlimen atau Senator dari Sarawak menyokong sesuatu rang undang-undang persekutuan, ia tidak semestinya terpakai di negeri ini tanpa kelulusan DUN,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan, Premier atau Ketua Menteri Sarawak tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani atau memberi persetujuan secara unilateral terhadap mana-mana rang undang-undang Parlimen yang menceroboh bidang kuasa Senarai Negeri.
“Persetujuan eksekutif tidak boleh menggantikan penerimaan legislatif. Sebarang cubaan sedemikian adalah tidak sah dari sudut Perlembagaan,” katanya sambil merujuk kepada dua contoh utama: Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) yang masih berkuat kuasa di Sarawak kerana tidak pernah dimansuhkan oleh DUN, serta Ordinan Agihan Gas 2016 (DGO 2016) yang diluluskan bagi menegaskan kawalan mutlak negeri terhadap gas.
Tambah beliau, MA63 bukanlah janji politik, sebaliknya satu perjanjian antarabangsa yang menjadi asas pembentukan Malaysia serta menjamin hak autonomi Sarawak dan Sabah, termasuk dalam hal ehwal tanah dan sumber asli.
“Pindaan Perlembagaan 2022 pula sekali lagi menegaskan kedudukan Sarawak dan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tiga fakta utama: Perlembagaan Persekutuan berada di atas PDA 74 dan mana-mana akta Parlimen, hak Sarawak tidak boleh digugat tanpa persetujuan DUN dan tiada Premier boleh mengatasi kuasa legislatif DUN.
“Ditandatangani pada 1963, diketepikan pada 1974, dan ditegakkan semula pada 2025. Inilah realiti yang perlu difahami. Saya menyeru semua pihak membaca Perlembagaan Persekutuan seiring dengan undang-undang persekutuan untuk benar-benar memahami kekuatan dan keterbatasannya,” jelas beliau.