
KUALA LUMPUR: Keupayaan pasukan pelakon aksi lagak ngeri tempatan sekali lagi mendapat perhatian apabila JST & SFX Production terlibat dalam penggambaran filem Thunderbolts terbitan Marvel Studios di ibu negara yang mula ditayangkan secara global awal bulan lepas.
Pengasasnya James Chung berkata penglibatan mereka membuktikan kemampuan pasukan tempatan dalam menghasilkan aksi berkualiti tinggi setanding produksi antarabangsa.
“Kami mula terlibat dalam produksi filem antarabangsa sekitar 2017 hingga 2018 menerusi filem Strike Back dari United Kingdom dan Skyfire, filem kerjasama antara China dan Amerika Syarikat.
“Untuk Thunderbolts, kami dihubungi oleh pengarah aksi lagak ngeri terkenal Noon Orsatti sebelum kerjasama dimeterai,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Filem Thunderbolts arahan Jake Schreier yang menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Florence Pugh, David Harbour, Hannah John-Kamen, Julia Louis-Dreyfus, Sebastian Stan, Wyatt Russell dan Geraldine Viswanathan turut menjalani penggambaran di bangunan kedua tertinggi dunia, Merdeka 118, pertengahan tahun lepas.
Selain Thunderbolts, JST & SFX Production turut terlibat dalam pelbagai produksi antarabangsa lain termasuk I Want To Be Rich, The Ghost Bride, The Little Nyonya, Attack Part 1, Special Raid, Big Octopus, Rajah, The Chosen One dan Lord of the Flies.
James yang juga pengarah aksi lagak ngeri, berkata pasukannya terdiri daripada 20 pelakon aksi lagak ngeri tempatan lelaki dan wanita yang berpengalaman, terlatih dan berdisiplin.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu, berkata tenaga mereka diperlukan bagi melaksanakan babak letupan yang kompleks dan berisiko tinggi, yang turut melibatkan lebih 100 pelakon tambahan.
“Cabaran utama ialah memastikan semua pelakon tambahan dapat dikoordinasi dengan tepat agar semua berjalan lancar dan selamat kerana letupan boleh menyebabkan serpihan kecil berterbangan.
“Kami fleksibel dan boleh melakukan aksi yang tidak dapat dilakukan pelakon tambahan biasa,” katanya.
Beliau berkata pasukannya hanya diberikan masa sehari untuk persiapan, termasuk penyediaan kostum dan taklimat teknikal sebelum penggambaran.
“Untuk babak letupan ini, kami hanya diberi masa sehari untuk persiapan kostum dan sehari untuk penggambaran. Kami melakukan latihan sekitar tujuh kali bagi memastikan babak ini berjalan lancar,” katanya, menambah tiada latihan khas diperlukan untuk penggambaran itu.
Sementara itu, penyelaras aksi lagak ngeri, Ali Arami berkata pihaknya terpaksa menolak melakukan babak ‘rigging’ dalam filem adiwira itu kerana ketiadaan peralatan khusus yang diperlukan.
“Harga peralatan tersebut lebih kurang AS$120,000.
Kami fikir tiada keperluan untuk membelinya kerana harga sewanya mahal dan ini akan membebankan produksi tempatan. Kalau ada geran kerajaan, itu lain cerita. Kami boleh beli dan sewakan pada kadar lebih murah kepada produksi,” katanya.
Ali yang berpengalaman hampir 20 tahun berkata disiplin dan sikap profesional antara faktor utama pasukan tempatan menjadi pilihan produksi antarabangsa.
“Mr Noon sendiri memuji orang Asia, termasuk Malaysia, yang rajin. Walaupun penat, mereka akan siapkan kerja secepat mungkin, berbeza dengan kru Amerika Syarikat yang lebih ‘slow and steady’.
“Walaupun tidak semua pelakon aksi lagak ngeri fasih berbahasa Inggeris, mereka tetap berusaha memahami dan melaksanakan arahan dengan baik. Sikap menghormati arahan produksi dan mudah bekerjasama menjadi nilai tambah kami,” katanya.
Menurutnya, produksi antarabangsa juga lebih menekankan struktur kerja yang jelas, termasuk had waktu bekerja kepada 12 jam sehari, elaun per diem (wang poket) dan keselamatan di set penggambaran.
Justeru, beliau berharap industri filem tempatan lebih menghargai pengorbanan dan kepakaran pasukan pelakon aksi lagak ngeri selain menjaga kebajikan kru dan keselamatan semua pihak.
“Memang kami dibayar untuk jatuh atau menerima impak, tetapi sebelum itu kami akan periksa sama ada aksi itu selamat atau tidak. Kami bukan ‘Superman’,” katanya. – Bernama