Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Thug Life diinspirasikan oleh Tupac Shakur – Kamal Haasan
  • HIBURAN

Thug Life diinspirasikan oleh Tupac Shakur – Kamal Haasan

Utusan Sarawak 2 days ago
KAMAL Haasan bercakap pada sidang media promosi filem Thug Life, Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR: Filem Tamil Thug Life yang bakal ditayangkan di pawagam esok, diinspirasikan daripada kisah mendiang Tupac Shakur,  penyanyi rap dari Amerika Syarikat, kata pelakon dan penerbit filem terkenal India, Kamal Haasan.

Menurut aktor berusia 70 itu yang turut membintangi dan menerbitkan filem berkenaan, Thug Life bukan bertujuan mengagungkan keganasan atau jenayah, sebaliknya menelusuri secara mendalam persoalan etika, kuasa dan natijah perbuatan yang dilakukan.

“Tupac mentakrifkan semula maksud Thug Life. Dulu istilah itu digunakan untuk merendah-rendahkan orang, tapi sekarang orang kata that’s so thug bila seseorang buat sesuatu yang bijak,” katanya dalam sidang media promosi filem berkenaan, di sini Sabtu lalu.

FILEM Thug Life.

Tupac yang dianggap antara penyanyi rap paling berpengaruh sepanjang zaman,  menjual lebih 75 juta rekod di seluruh dunia dan terkenal dengan lirik-lirik yang menyentuh isu keadilan sosial dan politik.

Kamal Haasan berkata filem terbaharu beliau itu akan mengupas dua tafsiran – kehidupan harfiah golongan thug  dan juga analisis yang lebih luas mengenai pilihan hidup mereka serta sistem yang mengelilingi mereka.

“Filem ini akan mempersoalkan sama ada kerja mereka itu beretika, apa kesannya dan adakah wajar untuk berasa bangga dengan kehidupan itu,” jelas penerima Anugerah Filem Kebangsaan India sebanyak tiga kali itu.

Pada asalnya, filem itu dirancang sebagai projek dwibahasa bertajuk Amar Hai dengan skrip ditulis sendiri oleh Kamal Haasan, sebelum pengarah tersohor Mani Ratnam mengambil alih projek tersebut dan memberikan sentuhan uniknya. Thug Life merupakan kerjasama pertama Kamal dan Mani Ratnam selepas 38 tahun, sejak filem ikonik Nayakan pada 1987.

Ditanya jika beliau bercadang menghidupkan semula mana-mana projek filem terdahulu yang tidak direalisasikan, Kamal Haasan berkata keputusan sebegitu memerlukan pertimbangan yang teliti. 

“Saya anggap industri filem ini sebagai keluarga besar saya, justeru saya perlu ambil kira nasihat mereka yang saya hormati bak saudara, khususnya jika mereka melabur (dalam projek saya) selaku penerbit,” katanya. 

Menurutnya, beliau perlu memastikan pelaburan itu membawa pulangan yang menguntungkan, dan atas faktor itulah beliau tidak boleh dengan sewenang-wenangnya merealisasikan setiap impiannya.

Mengulas filem mega beliau Marudhanayagam yang tertangguh sejak sekian lama, Kamal Haasan berkata hanya kira-kira 30 minit futej siap dirakam dan untuk menghidupkan semula filem tersebut memerlukan pendekatan kreatif yang segar.

“Kalau kita ikut Hollywood sekalipun kita masih perlukan sekurang-kurangnya satu setengah jam lagi. Namun, kita tidak boleh padatkan filem sedemikian kerana ia karya mega, jadi kita perlu buat penggambaran semula dan pastikan filem itu menepati trend semasa,” jelasnya.

 Marudhanayagam merupakan epik bersejarah berlatar belakang era penjajahan British, dilancarkan pada 1997 dengan gilang-gemilang namun kerja-kerja pembikinan terhenti tidak lama kemudian disebabkan oleh pelbagai masalah.

Sementara itu, Kamal Haasan mengimbas kembali kenangan semasa menjalani penggambaran di Malaysia sebelum ini.

“Kami pernah buat penggambaran di sini. Beberapa tahun lalu saya dan kawan saya (pelakon legenda) Rajnikanth datang ke sini dan jalani penggambaran sebuah lagu. Separuh daripadanya dirakam di Singapura dan separuh lagi di Malaysia. Saya sudah banyak kali datang ke sini dan ada ramai kawan di Malaysia dan juga Singapura,” katanaya.

Filem Thug Life yang turut dibintangi oleh Silambarasan TR, Trisha, Abhirami, Ashok Selvan dan Joju George, akan diedarkan di Malaysia oleh DMY Creations. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: ‘Ada Apa Dengan Melly? Prom Nite’ konsert penuh kenangan
Next: Aurelia Syaharani tampil berani dengan Mungkin Hanya Kamu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.