Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Thinaah mahu harungi cabaran Piala Uber dengan tenang
  • SUKAN

Thinaah mahu harungi cabaran Piala Uber dengan tenang

Utusan Sarawak 4 hours ago
BEREGU utama negara, M. Thinaah

HORSENS (Denmark): Pemain beregu wanita nombor satu negara M. Thinaah tidak panik meskipun terpaksa beraksi tanpa pasangan tetap, sebaliknya beliau penuh yakin dan bertekad untuk menikmati permainan ketika Malaysia membuat persiapan menghadapi kempen Final Piala Uber 2026 di sini esok.

Ketika pasangannya Pearly Tan diketepikan, tumpuan sudah pasti terarah kepada Thinaah, namun kapten pasukan Piala Uber itu tidak mahu membiarkan jangkaan tinggi menentukan pendekatannya.

Daripada memikul beban bersendirian, pemain berusia 28 tahun itu mengambil pendekatan berkongsi tanggungjawab dalam skuad yang sebahagian besarnya terdiri daripada muka baharu, sambil berazam mengekalkan suasana santai dan positif.

“Saya rasa saya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada diri sendiri mahupun rakan sepasukan. Seperti yang anda semua dapat lihat, ini bukan pasukan senior, kebanyakannya adalah pemain muda tetapi mereka menunjukkan prestasi yang sangat baik.

“Saya telah melihat mereka sejak latihan, ketika kami datang ke sini untuk kem latihan dan semasa sesi ujian gelanggang beberapa hari ini. Semua menunjukkan semangat yang tinggi. Saya rasa ia pasti akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan untuk bermain bersama mereka,” katanya menjelang aksi pembukaan Kumpulan B menentang Turkiye.

Minggu lepas, Pearly, 26, menarik diri daripada kempen Piala Uber susulan kecederaan belakang yang berulang, dan Persatuan Badminton Malaysia mengumumkan pemain beregu wanita negara Chong Jie Yu akan menggantikannya.

Thinaah berkata beliau berharap dapat membina persekitaran yang saling menyokong dalam pasukan, dengan bimbingan dua hala bagi membolehkan pemain belajar dan berkembang bersama sepanjang kempen itu.

Lima muka baharu, iaitu Carmen Ting, Ong Xin Yee, Low Zi Yu, Noraqilah Maisarah Ramdan dan Jie Yu, kesemuanya daripada kem beregu wanita telah diberi kepercayaan untuk memikul cabaran Malaysia pada Final Piala Uber 2026.

Sementara itu, barisan perseorangan wanita dibarisi K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan pemain profesional Goh Jin Wei.

Selepas perlawanan pembukaan menentang Turkiye, Malaysia akan meneruskan kempen menentang Afrika Selatan pada Ahad sebelum menutup aksi peringkat kumpulan bertemu juara enam kali Jepun pada 27 April.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.

Final Piala Uber 2026 yang bermula hari ini akan berlangsung hingga 3 Mei.- Bernama

Continue Reading

Previous: Stuttgart tewaskan Freiburg selepas masa tambahan, mara ke final Piala Jerman
Next: Olimpik Khas buka peluang pelajar PPKI tonjol bakat sukan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.