
SIBU: Acara seni tempatan, The Stage, terus berkembang sebagai platform eksklusif bagi penggiat seni muda sejak diperkenalkan pada 2022.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, dalam tempoh tiga tahun dan tujuh edisi penganjuran, The Stage telah membuka ruang kepada bakat baharu untuk menonjolkan kebolehan mereka, selain memberi pengalaman dan pengiktirafan yang berharga.
“Lebih daripada sekadar persembahan, acara ini merupakan satu inisiatif yang digerakkan oleh golongan belia, dihasilkan oleh anak muda untuk anak muda, membawa semangat ‘Dari belia, untuk belia’.
“Tahun ini, The Stage 7.0 membawakan pengalaman pentas yang lebih besar dan lebih lengkap. Ia membawa kepercayaan bahawa selagi peluang dan platform diberikan, Sibu juga mampu mencipta keunggulannya sendiri,” katanya ketika merasmikan acara tersebut di Stadium Tertutup Sibu baru-baru ini.

Tambah beliau,The Stage 7.0 yang bertemakan ‘This Stage Belongs to Us’ (Pentas Ini Milik Kita) meraikan bakat kreatif tempatan dan mengukuhkan lagi potensi Sibu sebagai hab kebudayaan.
Beliau berkata lebih 95 peratus pasukan di sebalik penganjuran tahun ini dari perancangan dan pelaksanaan hinggalah ke reka bentuk pentas, pencahayaan, muzik dan sokongan teknikal terdiri daripada anak jati Sibu sendiri, sesuatu yang beliau sifatkan sebagai satu kebanggaan bagi bandar ini.
“Ia bukan sekadar platform persembahan kerana ia juga menggerakkan pertumbuhan keseluruhan industri kreatif.
“Daripada perancangan acara kepada penerbitan video, daripada pencahayaan dan bunyi hinggalah ke reka bentuk pentas, ia sedang membina ekosistem kreatif Sibu.
“Hanya dengan memupuk ekosistem ini, barulah Sibu dapat bergerak ke arah pentas yang lebih profesional dan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah bahawa misi The Stage adalah untuk menonjolkan bakat-bakat kreatif Sibu, menanam keyakinan dalam kalangan penggiat seni muda, dan mempromosikan bandar ini sebagai sebuah bandar yang berpotensi dari segi kebudayaan.
Sementara itu, beliau berkata edisi-edisi terdahulu telah menampilkan artis jemputan seperti Jeryl Lee Pei Ling, Eric Lay, Tan Yin Ern, penyanyi dari Singapura Jeff, Firdhaus dan Dior.
Bagi tahun ini, acara kemuncaknya adalah kemunculan bintang kebanggaan Sarawak dan ‘Puteri EDM (Electronic Dance Music)’ Malaysia, Priscilla Abby, yang menerima sambutan hangat daripada penonton.
Oleh Tarani Lanting