Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • The Keris: Misi pengarah filem Tamil angkat legend Hang Tuah untuk rakyat Malaysia
  • HIBURAN

The Keris: Misi pengarah filem Tamil angkat legend Hang Tuah untuk rakyat Malaysia

Utusan Sarawak 3 hours ago

GEORGE TOWN: Selepas lebih 15 tahun berkecimpung dalam industri perfileman Tamil tempatan, pengarah Viknes Perrabu  melangkah ke pentas filem Melayu menerusi The Keris, sebuah filem aksi yang mengangkat warisan keris, seni persilatan dan legenda Hang Tuah.

Mula ditayangkan di seluruh negara hari ini, filem itu yang menghubungkan era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dengan dunia moden dihasilkan daripada minat mendalam pengarah berusia 38 tahun berkenaan terhadap sejarah. 

“Saya memang suka sejarah sejak di zaman sekolah. Mata pelajaran Sejarah antara subjek kegemaran saya dan minat itu sentiasa diterapkan dalam karya-karya Tamil saya sebelum ini,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, pembikin filem itu berkata The Keris bukan sekadar percubaan meneroka pasaran baharu, tetapi lahir daripada hasrat untuk menghasilkan sebuah karya yang mampu dihayati oleh semua kaum, sekali gus memperkenalkan sejarah dan budaya tempatan kepada khalayak lebih luas.

Menurut Viknes, pada asalnya beliau dan penerbit Dr N. Matheyalagan berhasrat menghasilkan filem bertemakan seni mempertahankan diri India, silambam, namun bertukar haluan selepas menilai perkembangan pasaran.

“Apabila berbincang dengan penerbit, beliau berkata kita beralih daripada silambam kepada silat kerana silat juga mempunyai nilai sejarah yang sangat kuat, dan dari situ timbul idea untuk mengangkat Hang Tuah sebagai teras penceritaan,” katanya.

Anak jati Kedah itu menegaskan keputusan itu tidak bermaksud mengetepikan filem Tamil, sebaliknya satu langkah strategik untuk meneroka khalayak lebih luas sambil membuktikan bahawa cerita tempatan mampu dipersembahkan dalam skala lebih besar.

PENGARAH filem Viknes Perrabu melangkah ke pentas filem Melayu menerusi The Keris, sebuah filem aksi yang mengangkat warisan keris, seni persilatan dan legenda Hang Tuah. Foto BERNAMA

Pengarah yang sebelum ini menghasilkan filem Tamil seperti Sathuriyan, Paramapatham, Agrinai dan Veera Karrupu itu bagaimanapun sedar untuk menghasilkan filem yang menyentuh sejarah dan budaya Melayu memerlukan penelitian yang rapi.

Justeru, beliau mendapatkan khidmat pengarah dan penulis skrip berpengalaman Datuk Zulkifli M. Osman serta beberapa penasihat lain bagi memastikan penggunaan bahasa, fakta sejarah dan elemen budaya Melayu dipersembahkan secara tepat tanpa menghilangkan nilai komersial filem itu.

Menurutnya, proses membangunkan filem itu mengambil masa hampir dua tahun, meliputi penyelidikan, pembangunan skrip, pemilihan pelakon dan penggambaran serta proses akhir.

Viknes berkata pemilihan pelakon utama Mohamad Syazlie Shah Ninam Shah, 28, atau lebih dikenali sebagai Syazlie Syazz misalnya, mengambil masa hampir dua bulan kerana beliau mencari individu yang bukan sahaja hebat berlakon dan melakukan aksi lagak ngeri, tetapi juga mampu membawa dialog dalam dua latar masa iaitu zaman Kesultanan Melayu Melaka dan era moden.

Mengulas cabaran sepanjang pembikinan filem itu, Viknes mengakui pada awalnya berasa gementar mengarahkan barisan pelakon Melayu yang lebih berpengalaman termasuk Datuk Jalaluddin Hassan, tetapi kerjasama erat seluruh tenaga produksi menjadi kekuatan utama dalam merealisasikan filem tersebut.

Katanya penggambaran dijalankan di beberapa lokasi termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Thailand, manakala beberapa set khas turut dibina bagi menggambarkan suasana zaman silam kerana lokasi asal yang menggambarkan era tersebut sudah tidak lagi wujud.

PENERBIT filem The Keris, Dr N.Matheyalagan melangkah ke pentas filem Melayu menerusi The Keris, sebuah filem aksi yang mengangkat warisan keris, seni persilatan dan legenda Hang Tuah. Menggabungkan aksi mendebarkan, seni persilatan, warisan budaya dan semangat perpaduan, The Keris yang dibintangi oleh Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Raja Azrey dan Jalaluddin Hassan juga akan menemui penonton di Singapura bermula 9 Julai. Foto BERNAMA

Selain mengetengahkan warisan Melayu, Viknes berkata filem itu turut membawa mesej perpaduan dengan menampilkan barisan pelakon daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, India, Cina dan seorang pelakon antarabangsa sebagai antara watak penting, sekali gus menjadi sebuah karya yang boleh dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Saya tidak mahu berjanji terlalu banyak tetapi saya yakin setiap ringgit yang dibelanjakan untuk membeli tiket berbaloi. Anda tidak akan menyesal selepas menonton filem ini. Setiap ringgit yang dibelanjakan adalah berbaloi,” katanya.

Sementara itu, Matheyalagan mengakui pembikinan The Keris menempuh pelbagai cabaran termasuk membina kepercayaan dalam kalangan kru berbilang kaum, mencari lokasi yang sesuai, memilih pelakon utama serta mengurus sebuah produksi berskala besar.

Selain itu, aspek kebajikan kru turut diberi perhatian, termasuk penyediaan makanan halal dan keperluan lain bagi memastikan ahli produksi dapat bekerja dalam suasana yang selesa serta saling menghormati budaya dan kepercayaan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata berkata kos penerbitan The Keris mencecah RM2.2 juta, meningkat jauh daripada perancangan asal berikutan pembinaan set, penggambaran di beberapa lokasi selain melibatkan lebih 200 kru sepanjang penggambaran.

“Sebenarnya projek ini awalnya dirancang sebagai produksi berskala sederhana, namun akhirnya berkembang menjadi sebuah filem yang lebih besar sehingga memerlukan sokongan dua lagi penerbit Dr. Chinniah Naidu dari Singapura dan Dr. Chakravarthy dari Amerika Syarikat,” katanya.

Mengulas perancangan selepas tayangan pawagam, Matheyalagan berkata pihak produksi sedang berbincang dengan Netflix agar The Keris berpeluang menembusi platform penstriman antarabangsa bagi membawa karya itu kepada penonton global.

Menggabungkan aksi mendebarkan, seni persilatan, warisan budaya dan semangat perpaduan, The Keris yang dibintangi oleh Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Raja Azrey dan Jalaluddin Hassan juga akan menemui penonton di Singapura bermula 9 Julai. – Bernama

Continue Reading

Previous: Bintang ‘Lethal Weapon’, Danny Glover dedah hidap Alzheimer

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.