The Grand Old Lady – mendengar namanya mungkin yang tergambar di fikiran adalah seorang wanita tua yang hebat. Sememangnya dia hebat kerana telah berusia 110 tahun tetapi masih utuh, hanya sahaja ia bukan manusia tetapi tinggalan telaga minyak pertama di Sarawak.
Sesuai usianya, ia menjadi saksi kepada sejarah suka duka Miri, dari sebuah perkampungan nelayan kecil sehingga membangun pesat dan menjadi bandar raya kedua di Sarawak.
Terpahat utuh di dalam sejarah itu adalah zaman penjajahan British dan Jepun, Perang Dunia Ke-II, konfrontasi, pemindahan operasi penggerudian minyak dari darat ke luar pantai, kebakaran lalang di sekitarnya, pemindahan koloni setinggan dari Bukit Kanada serta banyak lagi.
Namun sehingga kini ia masih terpacak gah di atas Bukit Kanada di Miri walaupun telaga-telaga lain berhampirannya musnah akibat pengeboman Jepun. Ia terselamat daripada bencana, berdiri degil di atas bukit yang menghadap bandar raya Miri seolah-olah ingin menyaksikan lebih banyak sejarah terpahat di bandar raya itu.
Mengimbas sejarahnya, telaga minyak yang juga dikenali sebagai Well No. 1 ini mula digali dan beroperasi pada Disember 1910. Sejarah awalnya juga agak melucukan kerana pihak British mengetahui tentang kewujudan minyak di perut Miri selepas melihat warga tempatan kerap ‘kemalangan’ apabila menggunakan minyak hitam itu sebagai bahan bakar mereka.
Difahamkan telaga ini telah beroperasi lebih 60 tahun tanpa henti sehinggalah ia diserahkan kepada Kerajaan Sarawak pada tahun 1973 dan dijadikan monumen bersejarah bandar raya Miri.
Sejak itu usaha-usaha pemulihan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan untuk menjadikan bekas telaga minyak ini sebagai monumen bersejarah bagi tatapan pelawat. Sesuai dengan peranannya sebelum ini, maka di sekitar monumen ini diabadikan ukiran beberapa operasi dan pelantar-pelantar minyak terawal di negeri ini.
Malah lokasinya yang strategik menjadikan ia pilihan pelawat dan orang tempatan untuk menikmati panorama bandar raya Miri dan menatap keindahan laut yang mengelilinginya.
Berjiran dengan The Grand Old Lady ialah Muzium Petroleum yang ‘bercerita’ tentang sejarah dan operasi penggerudian minyak di negara ini.
Jauh di atas dari hiruk pikuk bandar, lokasi ini bukan sahaja menawarkan pemandangan unik tetapi juga kedamaian. Justeru tidak hairanlah ia saban hari menerima kunjungan, terutama daripada warga bandar raya yang melakukan aktiviti riadah mendaki Bukit Kanada.
Oleh Haini Darani