
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi hari ini melancarkan sebuah video pendek berjudul The Black Mark, yang membawa mesej mengenai bahaya merokok dan penggunaan rokok elektronik (vape), khususnya dalam kalangan generasi muda sebagai usaha menjamin kesihatan awam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyempurnakan tayangan perdana video berdurasi kira-kira enam minit itu menerusi program ‘Back to Cinema – Sayang Paru-Paru (PaPa)’ di GSC Mid Valley Megamall, di sini.
Dzulkefly berkata penggunaan medium seni visual seperti filem pendek sebagai penyampaian mesej kesihatan awam merupakan pendekatan inovatif yang mampu memberi impak lebih mendalam kepada masyarakat.
“Program seumpama ini adalah inisiatif bersepadu yang cukup kreatif kerana menggabungkan elemen seni visual, kesedaran kesihatan awam dan keterlibatan komuniti dalam usaha mencegah penggunaan rokok termasuk vape dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda,” katanya kepada pemberita.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pencegahan amalan merokok dan penggunaan vape perlu bermula di peringkat institusi keluarga, dengan ibu bapa memainkan peranan utama sebagai pelindung kesihatan dan teladan kepada anak-anak.
“Mesej utamanya ialah peranan ibu bapa dalam membimbing serta memastikan anak-anak tidak terjebak dengan tabiat merokok, lebih-lebih lagi penggunaan vape yang kini menjadi kebimbangan utama,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan membantu menayangkan video pendek itu sebagai pesanan khidmat masyarakat di pawagam seluruh negara.
“Ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membendung anak-anak kita daripada budaya vaping,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, KKM memaklumkan program Back to Cinema dan video pendek The Black Mark yang dilancarkan hari ini akan diteruskan di beberapa negeri termasuk Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka.
Program itu akan digerakkan dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), KKM dan rakan kongsi Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan.
“The Black Mark akan disiarkan di pawagam-pawagam sebelum tayangan filem melalui Tanggungjawab Sosial Korporat dengan kerjasama pihak FINAS,” menurut kenyataan itu.
KKM juga memaklumkan ‘Program Back to Cinema – Sayang Paru-Paru (PaPa)’ turut melibatkan penyertaan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR), rumah anak yatim, sekolah sekitar Lembah Pantai serta komuniti Orang Asli melalui kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“KKM akan terus komited memastikan kesihatan masyarakat terjamin bukan sahaja melalui rawatan, tetapi juga advokasi kesihatan secara berterusan bermula dari akar umbi iaitu dari rumah, dan disokong penuh oleh pembuat dasar, agensi kerajaan dan swasta serta ahli komuniti,” menurut kenyataan itu.
– Bernama