BANGKOK: Kerajaan Thailand merancang membelanjakan 45 bilion baht (sekitar AS$1.4 juta) untuk bantuan tunai kepada 15 juta orang yang terjejas akibat kejatuhan ekonomi disebabkan Covid-19, selain diharap dapat meningkatkan penggunaan domestik.
Timbalan Setiausaha Agung Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial, Danucha Pichayanan pada Rabu mengatakan peruntukan itu diluluskan dalam mesyuarat mengenai situasi ekonomi yang terkesan oleh Covid-19.
Peruntukan itu juga sebagai langkah rangsangan ekonomi yang disyorkan Kementerian Kewangan, katanya.
Di bawah langkah itu, kerajaan akan menyalurkan wang tunai 3.000 baht kepada orang ramai untuk membeli barang keperluan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Orang ramai perlu mendaftar untuk mendapatkan bantuan itu yang akan diberikan melalui e-wallet, kata Danucha.
Kementerian Kewangan akan menyediakan perincian mengenai skim bantuan itu dan dijangka dilaksana mulai bulan depan hingga akhir tahun ini, katanya.
Langkah itu diharap dapat merangsang aliran tunai sekitar 90 bilion baht dan meningkatkan ekonomi sebanyak 0.25 peratus, tambahnya.
Pada mesyuarat yang sama turut diluluskan permohonan bantuan sebanyak 23.47 bilion baht oleh Kementerian Tenaga Kerja untuk mengupah siswazah baharu.
Menteri itu berkata ia sebagai langkah untuk mengatasi masalah pengangguran yang dihadapi siswazah.
Selain itu, pameran “Thailand Job Expo 2020” turut dijadual berlangsung akhir bulan ini. Sekitar sejuta peluang pekerjaan di sektor awam dan swasta akan disediakan. – Bernama