Thailand tingkatkan pengesanan kontak

Facebook
WhatsApp
LAKUKAN PENGESANAN… Thailand meningkatkan pengesanan kontak di wilayah utara selepas seorang kanak-kanak Myanmar didapati positif Covid-19. • Foto AFP

BANGKOK: Thailand meningkatkan pengesanan kontak di wilayah utara Tak, selepas seorang kanak-kanak Myanmar didapati positif Covid-19.

Kanak-kanak berusia dua tahun itu dan ibunya meninggalkan Mae Sot di Wilayah Tak ke Myawaddy, Myanmar pada 4 September.

Kanak-kanak itu didapati positif dalam saringan Covid-19, sementara keputusan ibunya negatif pada Ahad.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Suwannachai Wattanayingcharoenchai, berkata pegawai kesihatan sedang meningkatkan pengesanan kontak untuk mengenal pasti mereka yang mungkin terdedah kepada kanak-kanak terbabit.

“Pegawai kesihatan sudah mengumpul sampel daripada 2,635 warga Thai dan warga asing di Mae Sot pada 8 dan 9 September. Setakat ini, tiada yang didapati positif dalam saringan Covid-19,” kata beliau dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka ialah kontak rapat dengan kanak-kanak itu akan dikenal pasti dan menjalani saringan Covid-19.

Thailand melaporkan sifar jangkitan tempatan sejak pertengahan Mei sehingga 3 September lalu selepas seorang banduan yang tidak pernah ke luar negara, didapati positif dalam saringan Covid-19.

Sementara itu, Thailand melaporkan 10 kes baharu Covid-19 dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes 3,490 dan 58 kematian. – Bernama