BANGKOK: Thailand melanjutkan pelaksanaan darurat bagi tempoh sebulan lagi, sehingga penghujung Ogos, bagi mengurangkan kesan gelombang kedua penularan jangkitan Covid-19, semasa negara itu sedang mula membuka pintu sempadannya kepada warga asing terpilih, termasuk pekerja migran dari negara asing.
Mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha semalam meluluskan lanjutan itu, yang tempoh darurat pada asalnya dijadualkan Jumaat ini.
Jurucakap kerajaan Thailand, Narumon Pinyosinwat berkata kabinet hari ini bersetuju melanjutkan tempoh darurat, susulan nasihat daripada Majlis Keselamatan negara (NSC).
“Lanjutan itu adalah masih selaras dengan langkah kelonggaran terbaharu yang diumumkan sebelum ini, di mana semua perniagaan masih boleh kembali beroperasi,” katanya dalam persidangan media di sini hari ini.
Minggu lepas Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA) bersetuju membenarkan warga luar yang terpilih, termasuk pekerja migran dari negara luar terutama Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam yang terlibat dalam sektor infrastruktur dan industri makanan, untuk memasuki Thailand.
Selain itu pelancong perubatan, warga asing yang mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa, pameran perdagangan, kru produksi filem asing, dan pemegang kad Thailand Elite (pemegang visa kediaman bagi kemasukan yang kerap dan visa penduduk jangka panjang) adalah antara mereka yang dibenarkan memasuki Thailand.
Sejak pelaksanaannya pada 26 Mac hingga 30 April, Thailand melanjutkan perintah darurat negara itu sebanyak empat kali bagi memerangi Covid-19.
Sehingga kini Thailand merekodkan 3,298 kes Covid-19 dengan 58 kematian.
Dalam tempoh 24 jam sebelum ini, Thailand merekodkan satu kes baharu Covid-19, melibatkan seorang tentera Thailand yang baru pulang dari menjalani latihan di Hawaii, Amerika.- Bernama