
(Gambar fail AFP) Thaksin bersama anak perempuannya, Paetongtarn yang juga Perdana Menteri Thailand.
BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, akan dibicarakan mulai minggu depan atas pertuduhan ‘lese-majeste’ yang berkait dakwaan menghina monarki di negara itu.
Prosiding itu dijadualkan berlangsung tatkala Thailand kini terumbang-ambing di ambang kekacauan politik yang menyaksikan anak perempuan Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, berdepan risiko dipecat sebagai Perdana Menteri dan aktivis mengancam untuk mengadakan bantahan secara besar-besaran.
Ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara ini dijangka berdepan pusingan pergolakan yang baharu selepas dicengkam krisis seumpama secara berkala sejak dua dekad lalu.
Minggu-minggu mendatang ini bakal menyaksikan siri perbicaraan di mahkamah yang boleh menamatkan karier politik Paetongtarn dan membawa bapanya ke penjara.
Thaksin yang juga jutawan berusia 75 tahun, akan menghadapi perbicaraan mulai Selasa depan atas pertuduhan menghina monarki di mana bawah undang-undang ketat fitnah diraja Thailand, boleh membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Dakwaan itu berpunca daripada temu bual Thaksin dengan sebuah akhbar Korea Selatan pada 2015.
Perbicaraan terbabit ditetapkan berlangsung selama tiga minggu, namun keputusan dijangka dikeluarkan seawal-awalnya sebulan selepas itu.
Undang-undang lese-majeste melindungi Raja Maha Vajiralongkorn dan kerabat terdekat baginda daripada penghinaan atau penganiayaan, namun pengkritik mendakwa bahawa ia disalahgunakan untuk menyekat komen serta perbahasan yang sah.
Perkembangan itu menyusul ketika Thailand berusaha memulihkan ekonominya, selain berdepan isu pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Malah pada minggu lalu, parti konservatif Bhumjaithai mengumumkan menarik diri daripada kerajaan campuran selepas bocor rakaman perbualan telefon antara Paetongtarn dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen.
Pengkritik membidas Perdana Menteri berusia 38 tahun itu kerana didakwa menghina tentera Thailand, dan mendesaknya supaya meletak jawatan.
Paetongtarn sudah memohon maaf, minggu lalu, namun sekumpulan senator konservatif mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Perlembagaan supaya beliau dipecat. – AFP