
BANGKOK: Thailand merekodkan lebih 700,000 kes influenza sejak awal tahun ini dengan 61 kematian dilaporkan, menurut Pejabat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (ODPC).
Dalam satu kenyataan pada Khamis, ODPC menasihatkan orang ramai di seluruh negara agar berwaspada semasa peralihan daripada musim hujan ke musim sejuk kerana penyakit itu mudah merebak akibat perubahan cuaca.
“Sejumlah 702,238 kes influenza telah direkodkan di seluruh negara setakat ini, dengan 61 kematian, terutamanya dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak kecil. Pihak berkuasa menasihatkan kumpulan berisiko tinggi agar mendapatkan suntikan vaksin selesema tahunan,” katanya.
Pengarah ODPC 9 di Nakhon Ratchasima, Dr Taweechai Visanuyothin, berkata situasi influenza di Thailand menimbulkan kebimbangan, khususnya pada penghujung musim hujan hingga awal musim sejuk.
Beliau berkata dari 1 Jan hingga 8 Okt 2025, sebanyak 702,238 kes dilaporkan di seluruh negara dengan kadar insiden 1,081.83 bagi setiap 100,000 penduduk, manakala 61 kematian direkodkan bersamaan kadar kematian 0.09 bagi setiap 100,000 penduduk.
“Penyakit ini merebak melalui batuk, bersin atau sentuhan dengan titisan mukus atau air liur daripada individu yang dijangkiti.
“Mereka yang dijangkiti mungkin mengalami demam panas, hidung berair, batuk, sakit tekak, sakit kepala, keletihan dan sakit otot,” jelasnya.
Beliau berkata influenza boleh menyerang individu daripada semua peringkat umur dan sering mencetuskan penularan kelompok di tempat seperti sekolah, penjara, kem tentera dan tempat kerja.
Dr Taweechai berkata pihak berkuasa kesihatan Thailand akan terus memantau keadaan dengan teliti serta memastikan akses vaksin di seluruh negara.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelak tempat sesak, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.
-BERNAMA