BANGKOK: Hotel, gerai makanan jalanan dan tuk-tuk sedang bersiap sedia untuk menyambut kedatangan pelancong ke Bangkok ketika Thailand bersiap sedia untuk membuka semula sektor pelancongan mulai 1 November depan kepada pengunjung yang diberi vaksin sepenuhnya selepas 18 bulan sekatan perjalanan Covid-19.
Tetapi, Bangkok akan mengambil sedikit masa untuk kembali seperti dulu, kata pakar industri.
Pandemik Covid-19 menyebabkan bilangan pelawat menjunam daripada 40 juta pada 2019 kepada hanya 73,000 dalam lapan bulan pertama 2021menyebabkan ekonominya yang bergantung kepada pelancongan mencatatkan prestasi terburuk dalam tempoh lebih dua dekad.
Pihak berkuasa terdesak untuk memulihkan sektor itu yang menyumbang satu perlima daripada ekonomi walaupun Thailand masih merekodkan kira-kira 10,000 jangkitan Covid-19 sehari dan kadar vaksin hanya sekitar 40 peratus sahaja.
Kerajaan berharap rancangan untuk menghapuskan peraturan kuarantin yang ketat secara berperingkat dapat menarik pengunjung kembali ke bar dan pantai walaupun terdapat penularan virus itu.
“Kami telah menganggarkan industri pelancongan akan kembali ke paras normal sekitar pertengahan tahun depan,” kata jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok, Pongsakorn Kwanmuang.
Menurut pihak berkuasa, kerajaan itu menjangkakan pulangan sekurang-kurangnya sejuta pelawat menjelang Mac dan menjana pendapatan kira-kira AS$30 bilion menjelang 2022.
Ketiadaan pengunjung telah meninggalkan kesan yang tidak dapat disangkal di Chinatown Bangkok, dengan kedai ditutup di bawah cahaya lampu neon dan barisan tuk-tuk kosong.
Samran, seorang pemandu selama 25 tahun, menyaksikan pendapatannya menurun sebanyak 90 peratus dan kini hanya memperoleh AS$3 sehari.
“Saya mahu berhenti, tetapi saya sudah tua, tiada siapa yang akan mengupah saya untuk apa-apa lagi. Saya tidak mengambil seorang pun pelancong sejak April 2020,” kata pemandu tul-tuk yang berusia 58 tahun itu.
Selepas sekatan ini dilonggarkan, pihak berkuasa mengenakan kuarantin hotel selama 14 hari, mengecewakan semua kecuali pengembara yang memiliki semangat kental.
Skim untuk memudahkan lawatan ke pulau percutian selatan Phuket, yang diperkenalkan pada Julai lalu turut diperkenalkan sebagai langkah pertama ke arah normal, menarik hanya puluhan ribu pelancong sahaja.. -AFP