Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • TH umum agihan keuntungan 3.50 peratus, tertinggi dalam lapan tahun
  • SEMASA

TH umum agihan keuntungan 3.50 peratus, tertinggi dalam lapan tahun

Utusan Sarawak 6 hours ago
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan (kanan) pada sidang media mengenai pengumuman kadar agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) di Menara TH hari ini. TH hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, kadar tertinggi sejak 2018. Turut sama Pengerusi TH Tan Seri Abdul Rashid Hussain (dua, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad (tiga, kanan). Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, kadar tertinggi sejak 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata keseluruhan agihan keuntungan berjumlah RM3.22 bilion, yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit TH.

“Kadar tersebut dicapai setelah mengambil kira pelunasan zakat pada kadar 2.577 peratus (RM95.3 juta),” katanya pada sidang media pengumuman kadar agihan keuntungan TH itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad, Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Jabatan Kewangan TH Shamsul Bahar Shamsudin.

Beliau berkata prestasi terbaik TH dalam tempoh lapan tahun itu disokong tadbir urus yang diperkukuh, pengurusan kos berdisiplin dan strategi pelaburan yang mantap serta berdaya tahan.

Zulkifli juga berkata sehingga kini, iaitu sejak penubuhan TH 62 tahun lepas, jumlah kumulatif agihan keuntungan kepada pendeposit telah mencapai RM49 bilion.

Beliau berkata pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang telah dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 10.00 pagi 19 Mac ini melalui platform THiJARI, kaunter Tabung Haji serta bank-bank rakan strategik iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan Ambank Islamic.

Pada sidang media sama, Zulkifli turut mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM95.3 juta kepada semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi pihak pendeposit 2025, yang diselaras berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri.

“Sehingga kini, jumlah zakat yang telah dilunaskan oleh Tabung Haji bagi pihak pendeposit mencecah RM1.57 bilion sekali gus memperkukuh usaha untuk membantu golongan asnaf,” katanya.

Dari segi prestasi kewangan pula, Zulkifli berkata TH berjaya merekodkan pendapatan pelaburan tertinggi sebanyak RM4.64 bilion pada 2025 berbanding RM4.56 bilion bagi tahun sebelumnya.

Prestasi itu disokong oleh persekitaran ekonomi domestik yang stabil, strategi pelaburan berdisiplin dan pengurusan kewangan yang baik.

“Pada keseluruhannya, kedudukan kewangan Tabung Haji juga kekal kukuh dengan jumlah aset sebanyak RM98.58 bilion, melebihi jumlah liabilitinya berjumlah RM95.63 bilion,” katanya.

Sebagai institusi yang menguruskan simpanan pendeposit bagi mengerjakan ibadah haji, TH telah membantu lebih 1.5 juta individu di Malaysia menunaikan rukun Islam kelima itu.

Bagi Program Zakat Wakalah, TH telah menyantuni lebih 726,000 asnaf di seluruh negara pada tahun lepas, menjadikan jumlah keseluruhan penerima bantuan melebihi 2.9 juta orang dalam tempoh sedekad.

Agihan itu dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995 selepas penyata kewangan TH bagi 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara.- Bernama

Continue Reading

Previous: Sarawak umum cuti tambahan sempena Aidilfitri
Next: Perantau bawa pulang produk Sarawak sempena Aidilfitri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.