KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan inisiatif pencerahan secara besar-besaran kepada orang ramai berhubung dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu menerusi pengedaran risalah khas.
Penerbitan risalah dengan tajuk “Tabung Haji: Apa Sudah Jadi?” itu, bertujuan membolehkan orang ramai mendapatkan fakta tepat dan telus terus daripada sumber rasmi, sekali gus menoktahkan kekeliruan berhubung kepincangan pengurusan bagi tempoh 2014 hingga 2020 yang didedahkan melalui laporan RCI, bulan lepas.
Langkah itu juga bagi memperkukuh semula keyakinan lebih sembilan juta pendeposit terhadap kemampanan dan tadbir urus masa depan institusi pengurusan haji negara itu, menerusi fakta yang sahih.
Inisiatif tersebut dilaksanakan melalui pengedaran poster dalam format digital dan bercetak bagi memastikan masyarakat dapat meneliti kandungan serta fakta sebenar hasil siasatan tersebut secara lebih mendalam dan tepat.
Bagi memastikan capaian maklumat yang meluas, risalah digital mula diedarkan terus ke masjid dan surau melalui aplikasi WhatsApp hari ini, manakala versi bercetak pula akan diagihkan pada Jumaat ini, khususnya di sekitar Wilayah Persekutuan.
Risalah yang diringkaskan daripada dokumen asal setebal 211 muka surat itu, memperincikan kronologi yang mencetuskan siasatan berkenaan, bermula dengan peringatan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2014 hingga 2015 berhubung kedudukan kewangan TH yang lemah dan bahaya.
Menerusi risalah tersebut, TH turut mendedahkan pelbagai dapatan kritikal RCI antaranya kegagalan institusi itu menguruskan defisit aset-liabiliti yang dialami sejak 2014, selain pengesahan berlaku pelanggaran akta serta standard perakaunan.
Turut diperincikan ialah isu penggunaan Nilai Aset yang Boleh Direalisasikan (RAC) bagi tujuan pengisytiharan hibah, yang mana kaedah tersebut didapati bukan standard perakaunan yang diiktiraf dalam penyediaan penyata kewangan.
Selain itu, risalah berkenaan menyentuh secara telus isu tadbir urus dan risiko campur tangan politik, kelemahan dalam pemantauan pelaburan serta konflik kepentingan membabitkan anak syarikat yang menjadi antara punca kepincangan lalu.
Bagaimanapun, RCI mengabsahkan bahawa Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH 2018 merupakan langkah paling tepat serta kritikal, yang telah diambil bagi menyelamatkan dan memulihkan semula kedudukan kewangan TH.
Risalah padat itu turut menggariskan beberapa syor utama RCI bagi menjamin masa depan TH, termasuk cadangan memperkukuh Akta Lembaga Tabung Haji bagi memperkemas struktur kuasa, fungsi dan tadbir urus organisasi selain larangan pelantikan ahli politik aktif sebagai Pengerusi atau Anggota Lembaga.
Susulan pelaksanaan sebahagian besar syor tersebut, TH turut berkongsi perkembangan terkini kedudukan kewangannya yang kini berada pada tahap sangat kukuh, termasuk kejayaan mengumumkan agihan keuntungan 3.5 peratus bagi tahun 2025, iaitu yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Sehingga kini, dana pendeposit menunjukkan trend peningkatan memberangsangkan kepada RM93.4 bilion, selain TH mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM4.64 bilion pada 2025, angka tertinggi dalam sejarah penubuhannya.
Integriti TH yang semakin pulih turut menyaksikan agensi itu melunaskan zakat berjumlah RM693.6 juta bagi tempoh 2019 hingga 2025, selain terus meraih pengiktirafan antarabangsa melalui Anugerah Diamond (Terbaik Keseluruhan) dalam Anugerah Labbaytum daripada Arab Saudi bagi tahun 2025 dan 2026.
Sehingga kini, lebih 75 peratus daripada syor RCI telah dan sedang dilaksanakan oleh TH.
Inisiatif pencerahan ini digerakkan pada hari yang sama satu sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi membahaskan laporan RCI tersebut secara terperinci.- Bernama





