
MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi penghargaan kepada 385 Sahabat Maktab atas khidmat sukarela mereka membantu 31,600 jemaah Malaysia sepanjang musim haji 1446H/2025M.
Mereka yang terdiri jemaah haji Malaysia daripada tujuh maktab penginapan diraikan pada majlis diadakan di Ibu Pejabat TH di Hotel Abraj Janadriyah di sini hari ini.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata TH menghargai sumbangan Sahabat Maktab yang mempunyai pelbagai latar belakang dalam membantu kira-kira 632 petugas TH untuk memastikan kelancaran operasi haji jemaah Malaysia terutama semasa Operasi Masyair.
“Jasa dan bakti yang dicurahkan oleh Sahabat Maktab amat bermakna kepada TH kerana mereka lebih dekat dengan jemaah, memahami isi hati dan aspirasi mereka dengan lebih mendalam.
“Hari ini, kita raikan dan hargai pengorbanan mereka dan TH amat berbangga serta berterima kasih atas sumbangan ikhlas yang mereka berikan sepanjang musim haji ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Program Sahabat Maktab yang diwujudkan sejak 2006 terbahagi kepada tiga kategori, iaitu Sahabat Ibadat TH, Sahabat Medik TH, dan Sahabat TH, memberi ruang kepada jemaah berkemahiran untuk membantu rakan senegara yang memerlukan bantuan sepanjang musim haji.– Bernama