TH fokus kesihatan jemaah hadapi cuaca panas, wukuf di Arafah

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Mohamad Zamri Harun (kanan) memeriksa kelengkapan beg perubatan kecemasan dan trauma yang akan digunakan untuk membantu jemaah haji ketika ditemui pemberita baru-baru ini. Lembaga Tabung Haji (TH) memberi fokus utama memastikan setiap jemaah haji Malaysia berada dalam keadaan sihat dan mampu melaksanakan kemuncak ibadah haji iaitu berwukuf di Arafah meskipun berdepan cabaran cuaca panas ekstrem di Tanah Suci. Dr Mohamad Zamri berkata kesiapsiagaan pasukan perubatan ketika musim masyair dipertingkat menerusi perancangan menyeluruh melibatkan tiga fasa utama iaitu sebelum, semasa dan selepas pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina. Foto BERNAMA

MAKKAH:  Memastikan setiap jemaah haji Malaysia berada pada tahap kesihatan optimum untuk melaksanakan kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah menjadi tumpuan utama Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini, meskipun berdepan cabaran cuaca panas ekstrem.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Mohamad Zamri Harun berkata untuk itu kesiapsiagaan pasukan perubatan bagi menghadapi operasi Masyair dipertingkat menerusi perancangan menyeluruh melibatkan fasa sebelum, semasa dan selepas pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah serta Mina.

Beliau berkata sebahagian petugas perubatan telah digerakkan lebih awal ke kawasan Masyair bagi memastikan operasi rawatan dan kecemasan berjalan lancar sepanjang tempoh kemuncak itu.

“Fokus utama kita adalah agar jemaah dapat menunaikan haji dengan sempurna, sekurang-kurangnya mampu berwukuf. Justeru, petugas perubatan ditempatkan bersama jemaah di maktab bagi memastikan rawatan segera dapat diberikan sekiranya perlu,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

 Bagi musim haji 1447H/2026M ini, beliau berkata penugasan untuk operasi Masyair, yang merupakan kemuncak bagi menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji selama lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah, melibatkan 224 petugas perubatan termasuk pakar, doktor serta jururawat. 

Dr Mohamad Zamri berkata cabaran utama pasukan perubatan adalah memastikan koordinasi dan komunikasi berkesan memandangkan pergerakan ke Arafah melibatkan jumlah jemaah yang besar dalam tempoh singkat.

Selain itu, beliau berkata cuaca panas melebihi 40 darjah Celsius di Tanah Suci turut meningkatkan risiko dehidrasi, keletihan dan strok haba, selain jangkitan saluran pernafasan.

“Seminggu sebelum wukuf, jemaah dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar terutama berjalan ke Masjidil Haram pada waktu siang. Mereka juga digalakkan minum sekurang-kurangnya 10 gelas air sehari walaupun tidak berasa haus bagi memastikan tubuh kekal terhidrat,” katanya.

Mengenai strok haba, Dr Mohamad Zamri berkata keadaan itu biasanya bermula dengan keletihan haba akibat kehilangan banyak air daripada perpeluhan berlebihan dan antara simptom yang perlu diperhatikan ialah kekeliruan, kulit kering, lidah dan bibir kering, kekejangan otot serta pengsan.

“Oleh itu, jemaah diingatkan agar banyak berehat, minum air secukupnya dan jangan memaksa diri untuk terlalu kerap ke Masjidil Haram dalam tempoh terdekat ini. Kita mahu semua jemaah mampu berwukuf di Arafah dan memperoleh haji yang mabrur,” katanya.

Beliau turut menekankan agar jemaah yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi sentiasa berdisiplin dalam pengambilan ubat-ubatan mengikut jadual.

“Jemaah perlu terus makan ubat seperti biasa dan tidak bergantung kepada doa semata-mata. Disiplin mengambil ubat amat penting walaupun berada di Tanah Suci,” katanya.- Bernama

Nanta kecewa 17 kerusi DUN baharu mungkin tidak sempat digunakan PRN akan datang

PETRA JAYA: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi kecewa kelewatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan proses persempadanan semula membabitkan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN). Menteri Kerja Raya itu berkata, berikutan itu kemungkinan besar 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. “Penambahan 17 kerusi baharu ini bukan sahaja penting untuk digunakan pada PRN akan datang, malah menjadi asas kepada usaha memperkukuh kedudukan Sarawak di Parlimen menerusi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Pertambahan kerusi DUN itu mempunyai implikasi besar terhadap usaha Sarawak dan Sabah mendapatkan semula satu pertiga perwakilan di Dewan Rakyat bagi melindungi kepentingan kedua-dua wilayah. “Apabila kita mempunyai sedikit lebih daripada satu pertiga kerusi, sebarang pindaan Perlembagaan atau undang-undang yang melibatkan kepentingan Sarawak dan Sabah tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Ahli Parlimen dari kedua-dua wilayah ini. “Itulah implikasi besar penambahan kerusi ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS 2026) di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, hari ini. Laporan Utusan Sarawak hari ini memetik sumber sebagai berkata bahawa SPR belum lagi menetapkan tarikh sebenar untuk mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak meskipun telah memohon untuk menggunakan ruang di pejabat majlis perbandaran dan pejabat daerah bagi tujuan itu menerusi surat bertarikh 25 Jun lalu. Sidang Khas DUN pada 7 Julai tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia. Nanta bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa proses persempadanan semula oleh SPR dimulakan terlalu lewat, sekali gus menimbulkan kemungkinan 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada PRN akan datang. “Saya bersetuju dengan pandangan Dato Sri Abdul Karim kerana nampaknya proses itu tidak sepatutnya ditangguhkan sehingga ke tahap ini. “Implikasinya bukan sekadar kita mahu pertambahan 17 kerusi itu, tetapi lebih penting ia menjadi asas untuk meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99 sebelum kita menambah lagi kawasan Parlimen pada masa hadapan,” katanya. Beliau berkata, harapan sebelum ini ialah supaya 17 kerusi baharu itu dapat digunakan pada PRN akan datang sebelum dijadikan asas bagi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Namun nampaknya kita mungkin tidak dapat menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya. Mengulas tempoh lebih setahun yang diambil SPR untuk memulakan proses persempadanan semula selepas usul penambahan kerusi diluluskan DUN Sarawak, Nanta berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai punca kelewatan tersebut. “Kita tidak tahu proses yang perlu mereka lalui, tetapi dalam tempoh lebih setahun itu sepatutnya ia boleh diselesaikan. “Di mana berlakunya kelewatan itu saya tidak mahu membuat spekulasi. Harapan kita memang mahu menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya akan datang, namun nampaknya ia mungkin tidak menjadi kenyataan,” katanya. Sementara itu, mengulas cadangan mewujudkan kerusi DUN Melekun di bawah Parlimen Kapit, Nanta berkata beliau mengalu-alukan bukan sahaja cadangan tersebut, malah keseluruhan 17 kerusi baharu yang dicadangkan. “Bukan hanya Melekun, saya mengalu-alukan kesemua 17 kerusi itu jika dapat diwujudkan. “DUN Sarawak telah meluluskan usul berkenaan dan kini cadangan itu perlu melalui proses seterusnya di peringkat Persekutuan sebelum dapat dilaksanakan,” katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai senarai penuh cadangan kawasan baharu yang tular kerana belum melihat dokumen berkenaan.