WALAUPUN tewas 2-3 kepada Sarikei FA, namun ia tidak lagi memberi kesan buat Kapit FA dalam misi perburuan ke tiket Pusingan Akhir Liga SSC-FAS 2021 yang diadakan di Bintulu Disember nanti.
Pengendali Kapit FA, Pendi Bohari berkata pasukan kendaliannya turun ke Bandar Nanas itu dengan misi yang sama iaitu kemenangan berterusan untuk dicapai.
Namun, katanya beberapa insiden dan aksi yang tidak diingini berlaku ketika menentang Sarikei FA, dicemari dengan permainan keras dan kasar serta gangguan daripada penyokong luar.
“Banyak insiden yang tidak diingini telah berlaku sepanjang permainan berlangsung dengan sikap pnyokong tuan rumah yang hadir bertindak melemparkan botol di dalam padang.
“Begitu juga beberapa aksi serta terjahan keras daripada pemain tuan rumah sehingga menyebabkan lima pemain utama Kapit FA cedera.
“Kami sangat kecewa dengan sikap pemain tuan rumah kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan dan profesional serta melayan pasukan lawan dengan teruk.
“Tetapi kami terpaksa menerima kekalahan ini dengan hati terbuka dan menujukkan permainan yang profesional,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Bagaimanapun, Beliau melahirkan rasa lega kerana pasukan pimpinannya telah layak ke pusingan akhir Liga SSC-FAS yang diadakan di Bintulu 5 hingga 11 Disember nanti.
“Syukur, kita berjaya ke pusingan akhir di Bintulu nanti dan kita akan mengiringi Sri Aman FA bagi Zon Tengah.
“Kejayaan ini adalah untuk semua pemain, pengurusan pasukan serta penyokong setia Kapit FA yang tidak henti-henti memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada pemain,” ujarnya.
Beliau menjelaskan pasukannya akan kembali menyambung sesi latihan dalam minggu ini bagi persiapan ke pusingan akhir dalam tempoh dua minggu lagi.
Sementara itu, bagi keputusan lain pula Samarahan FA sekadar seri 2-2 dengan Serian FA, Mukah FA menundukkan Bintulu FA 1-0, Sri Aman FA membelasah Sibu FA 7-0 dan perlawanan antara Kuching City FC menentang Sarawak United FC terpaksa dibatalkan.
Oleh ADI SAFARMAN