BELAGA: Dinding Rotan terpanjang di Malaysia yang dikenali sebagai ‘Teteng Wei’, kini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.
Pengiktirafan itu bukan sahaja mencerminkan keunikan seni dan budaya Orang Ulu, malah juga hasil usaha gigih dan kreativiti masyarakat tempatan dalam mengekalkan warisan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, berkata pencapaian tersebut adalah simbol kepada usaha gigih dan kreativiti masyarakat tempatan dalam mengekalkan tradisi yang diwariskan daripada generasi ke generasi.
Menurutnya, Dinding Rotan itu bukan sahaja mencerminkan keindahan seni, malah juga ketahanan dan keterampilan yang harus dibanggakan oleh rakyat Malaysia.
“Rotan sebagai bahan utama dalam dekorasi dinding ruai ini memperlihatkan hasil kerjasama dan semangat gotong-royong masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Malaysia Book of Records ‘Teteng Wei’ (Dinding Rotan) Terpanjang, di Uma Ukit, Apau Koyan, Penempatan Semula Bakun, Sungai Koyan, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Chukpai turut mengucapkan terima kasih kepada Sarawak Energy Berhad atas sokongan mereka kepada komuniti Penempatan Semula Bakun, yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan projek berkenaan.
“Pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records ini juga menunjukkan potensi yang ada dalam bidang pelancongan kebudayaan dan kesenian bagi kawasan kita,” katanya.
Beliau berharap pengumuman tersebut dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif dan projek yang akan datang, demi memartabatkan dan memelihara warisan budaya tempatan.
“Pengiktirafan ini adalah yang ketiga bagi komuniti Belaga dalam Guinness World Records dan Malaysia Book of Records, yang menunjukkan komitmen kita dalam memelihara tradisi yang telah kita bina bersama,” katanya.
Oleh itu, Chukpai meminta masyarakat untuk terus berusaha memelihara dan menghargai warisan budaya agar generasi akan datang dapat merasai keindahan yang telah ditinggalkan oleh generasi sebelumnya.