KUCHING: Jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di Sarawak perlu menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) selaras dengan garis panduan ditetapkan kerajaan bagi masyarakat yang menunaikan Solat Jumaat dan Solat Fardu.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, SOP yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial, pendaftaran jemaah, menyediakan cecair pembersih tangan dan jemaah hendaklah menggunakan topeng muka dan hidung.
“Sehubungan itu, umat Islam di Sarawak yang menunaikan solat di masjid dan surau di seluruh negeri hendaklah mematuhi SOP yang telah ditetapkan itu demi keselamatan dan kesihatan masing-masing.
“Pekeliling juga sudah ditetapkan termasuk arahan memendekkan khutbah dan doa selain tidak membenarkan jemaah berkumpul sebelum atau selepas menunaikan solat,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebenaran menunaikan Solat Jumaat serta Solat Fardu di surau dan masjid di Sarawak, di sini, semalam.
“Kita berharap umat Islam dapat mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan kerana ia untuk menfaat kita bersama.
“Selain itu, bilangan jemaah yang dibenarkan untuk menunaikan solat adalah bergantung kepada kapasiti masjid atau surau,” ujarnya.
Sementara itu bercakap mengenai kelonggaran untuk menyambut Hati Raya Aidiladha, beliau berkata, memang umat Islam boleh meraikan perayaan tersebut namun budaya ziarah menziarahi masih tidak dibenarkan.
“Buat masa ini kita masih belum mendapat garis panduan tetap mengenai ibadah korban.
“Apa yang pasti garis panduan masih sama seperti tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu tidak boleh berkumpul dan pengagihan daging korban dihantar terus kepada penerima tanpa perlu mengadakan majlis besar-besaran,” tambahnya.
Oleh Zarina Abdullah