KUCHING: Kementerian Perusahaaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) harus menetapkan harga lantai sawit tidak kurang daripada RM500 setan dalam usaha untuk membantu pekebun kecil di Sarawak.
Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong (gambar)
berkata, semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Anggaran Perbelanjaan kelmarin, terdapat salah faham beberapa pihak mengenai beliau mengesyorkan agar pihak kementerian memandang serius harga siling kelapa sawit agar ia dapat ditetapkan pada kadar RM500/tan.
Menurutnya, beliau maksudkan supaya harga lantai tersebut ditetapkan paling rendah pada harga RM500 dan tidak boleh kurang daripada itu.
“Ini kerana keadaan semasa penularan Covid-19 ini, pekebun sawit kecil terjejas teruk dengan harga semasa kelapa sawit adalah sekitar RM200 hingga RM300 sahaja.
“Bermakna saya minta semalam, supaya kementerian tersebut mesti memutuskan harga lantai setan tidak boleh kurang daripada RM500, baharulah ia boleh memberi nafas baru kepada semua pekebun kecil terutamanya di Sarawak,” jelasnya ketika ditemui selepas persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Ujarnya, beliau sebagai pekebun sawit pada satu ketika dahulu sekitar tahun 2014 hingga 2016, harga setan kelapa sawit adalah sekitar RM700 hingga RM800.
“Contohnya, kalau barangan pekebun seperti racun dan baja meningkat, tetapi harga sawit menurun, ia sudah tentu akan membebankan para pekebun dan sukar untuk menyara kehidupan harian.
“Jadi maknanya, saya minta harga sawit mesti diputuskan oleh kementerian tersebut supaya harga lantai sawit tidak boleh rendah seperti situasi semasa Covid-19.
“Namun saya bangga apabila hari ini saya dapati harga satu tan adalah RM517 hingga RM520, bermakna ia sudah naik dan saya berharap akan lebih meningkat sehingga RM600 ke RM700 satu tan,” ujarnya dan berharap orang ramai tidak membuat spekulasi berlainan mengenai isu itu.
Tambahnya, beliau mahu kementerian mengambil serius perkara itu supaya pekebun kecil mendapat manfaatnya..
Oleh Zarina Abdullah