
PUSA: Dalam usaha menangani isu kehamilan remaja khasnya, kerajaan Sarawak telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) penurunan bilangan kes remaja hamil sebanyak 10 peratus setiap tahun berbanding dengan bilangan kes pada tahun sebelumnya.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata statistik daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menunjukkan bahawa trend bilangan remaja hamil sudah semakin menurun sejak tahun 2012 iaitu daripada 3,866 kes kepada 2,000 kes pada tahun 2024 (penurunan sebanyak 48.3 peratus).
“Peratusan kehamilan remaja berbanding jumlah kes baharu antenatal dalam tempoh yang sama juga menunjukkan tren penurunan daripada 9.1 peratus kepada 7.2 peratus (penurunan sebanyak 1.9 peratus).
“Statistik juga merekodkan trend penurunan kes sebanyak 1.28 peratus dalam tahun 2024 (2,000 kes) berbanding dengan tahun 2022 (2,026 kes). Namun, peratusan remaja hamil daripada jumlah kes baharu antenatal juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus pada 2024 (7.2 peratus) berbanding tahun 2023 (6.6 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penangguhan Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) peringkat Bahagian Betong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa, dekat sini semalam.

Mohamad Shafizan berkata secara terperinci, statistik remaja hamil di Sarawak bagi tahun 2024 adalah sebanyak 90.6 peratus (1,812 kes) remaja hamil berumur 16 tahun dan keatas; 96.1 peratus (1,922 kes) tidak lagi bersekolah semasa dilaporkan hamil; 63.6 peratus (1,271 kes) tidak berkahwin semasa mereka
hamil.
“Dari segi bilangan kes, Bahagian Kuching mencatat bilangan kes tertinggi (482 kes); diikuti Bintulu (320 kes); Miri (302 kes); Sibu (261 kes) dan Samarahan (119 kes), manakala dari segi peratusan kehamilan remaja, Bahagian Kapit mencatatkan peratusan remaja hamil yang tertinggi (12.9 peratus) diikuti dengan Bintulu (9.0 peratus); Serian (8.3 peratus); Samarahan (8.3 peratus) dan Miri (7.7 peratus),” katanya.
Tambahnya, bagi tempoh lapan tahun, iaitu dari tahun 2016 hingga 2024, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak di Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) telah berkolaborasi dengan Jawatankuasa Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) untuk mengendalikan sebanyak 75 siri program KAPS di sekolah-sekolah menengah di seluruh Sarawak.
“Sejak itu, terdapat penurunan ketara dalam bilangan kes remaja hamil bersekolah iaitu daripada 142 kes pada 2016 kepada 78 kes pada 2024 (45.07 peratus).
“Trend penurunan ini memberi semangat kepada kerajaan Sarawak, melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak dan rakan-rakan strategiknya dalam OSTPC untuk terus mengendalikan program KAPS ini di sekolah-sekolah menengah di seluruh Sarawak,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman