

SUDAH tiga hari Awan suram melangsiri Hutan Santubong yang semakin langka dengan kicauan unggas. Adapun yang bertebaran hanya menjadi habuan pemangsa yang sibuk kelaparan. Dahulunya, rimbunan flora dan pekikan fauna sentiasa memutarkan irama indah buana. Kini, lantunannya sesedih Lacrimosa – karya Mozart yang tidak sempat dihabisi. Dedaun mulai layu dan berguguran meninggalkan lompong yang tidak mampu memayungi makhluk melata di Hutan Santubong. Apatah lagi, banyak pohon sepemeluk lima orang lelaki dewasa mula condong ke lantai hutan sehingga reput berkulat, menghakis lereng-lereng sehingga terhapus lorong pendakian.
Salah siapa? Bahana tangan kotor sang penceroboh, haloba mengisi lambung sendiri, alam semakin tergadai.
Awan menggeleng memerhati kerenah sekumpulan makhluk mengendong senapang patah bersama hasil buruan. Menggelekek bagai anjing melintang denai kerana habuannya cukup lumayan. Empangan pula menjerit kesakitan tidak mampu menampung beban kerana bibirnya terhalang dek balak hanyut. Guram menanti saat tergelongsor isi perut ke muara sungai.
“Mereka punca kita sengsara.” Gumam Awan sendirian menginsafi diri.
Hari ini, Awan tekad menegur Suria menanyakan mengapa amarahnya berbahang sehingga mengeringkan keringat lalu kontang dan tandus pada tanah yang menyubur rezeki.
Suria menempelak sambil mengepak dada membalas sinis. “Mengapa pula air matamu begitu lebat, lantas kau juga sanggup membanjiri alam. Engkau pun sebuah pemusnah, bukan?”
Awan diam terkedu dan sekadar membalas dengan senyuman kelat. Langsung tidak mengendahkan Suria melampiaskan panas hatinya.
Masih membengiskan wajah lantaran gurisan sentap pada jenjala Awan, helaan Suria kian membahang.
“Kau lupa, Awan? Tangisanmu pernah menenggelamkan banyak dataran. Belum termasuk ribuan makhluk itu kehilangan tempat tinggal.” Suria memulangkan paku buah keras kepada Awan.
“Maaf, Suria. Andai teguranku menggores hati.” lembut Awan beralah isyarat tidak mahu memanjangkan pertelingkahan.
“Betul, Suria. Selagi kau marah, terikanmu ligat membakar alam. Aku pun turut tempias merengsa.” celah Bayu membela Awan.
“Habis, kau ingat aku menyusahkan kamu semua?” Nada suara Suria sedikit meninggi sehingga bahangnya semakin terasa.
Awan menjeling ke arah makhluk tadi. Berkali-kali meneguk air sambil mengipas-ngipas tubuh yang disimbah keringat.
“Kau pandang makhluk di bawah sana. Siapa punca peningkatan kepekatan karbon dioksida atmosfera kita? Pelepasan pembakaran bahan bakar fosil, salah siapa? Siapa?” Bertalu-talu pertanyaan Suria kepada Awan dan Bayu.
Masing-masing kelu terkesima. Terkesan dengan jerkahan Suria.
Embunan di hujung daun mula menipis. Proses sejatan telah lama bermula. Amarah suria membenarkan kondensasi air di bumi berlamaan sehingga Awan merasakan tubuhnya semakin gebu lantaran beribu-ribu titisan wap mula menempel sejak tiga hari yang lalu.
Bayu terlihat seakan tepu dan tidak selesa. Suhunya sekejap panas dan kering, adalakala sejuk dan memeluwap. “Seperti makhluk itu juga, apabila suhu berubah tak tentu hala, bergulung-gulung juga aku.” getus Bayu sendirian.
“Kau pun sama Bayu! Sekali bentakan kau, habis ranap pokok-pokok, air di lautan ganas bergelora kau kerjakan.” Giliran Bayu pula dipersalahkan seperti Suria dapat mentafsir gerak-geri Bayu.
Terkulat-kulat Bayu dengan sergahan Suria dan sifat polosnya membenarkan kata-kata itu. Awan dan Bayu saling berpandangan sebagai petanda tidak dipanjangkan perbualan itu lagi.
Sementara di tengah belantara Santubong,
“Aduhai, kenapalah panas sangat hari ini ya, Ancil?” tanya Nyet sambil terkial-kial mengupas pisang benyek.
Ancil terlalu khusyuk menghilangkan haus di gigi anak sungai Santubong langsung tidak mengendahkan Nyet. Tidak semena-mena, tersembur air dari mulut Ancil dan mengenai muka Nyet kerana hampir tercekik cebisan plastik.
“Alhamdulillah, Nyet.” Balas Ancil sambil menelan air liur walaupun masih hadir rasa gatal di tenggorok. Dipercikkan air ke muka untuk menghilangkan rasa rengsa.
“Sudah sebulan keadaan hutan kita sebegini. Pokok-pokok banyak mati kekeringan. Buah-buahan pun banyak tak menjadi.” Nyet hanya tercengang dan mengangguk lemah mengiyakan bebelan Ancil.
“Air sungai tidak sejernih dan sederas dulu. Rantaian makanan kita pun terjejas. Belum lagi makhluk itu melenyapkan rumah kita.” Tokok Ura-Ura sayu mengenangkan nasib malang mereka.
“Anak-anak aku semuanya mati. Suami pula pun entah hilang ke mana. Semua gara-gara makhluk itu.” Luah Ura-Ura sehingga kedengaran getaran sayu di hujung suara atas kehilangan ahli keluarga tersayang.
Ancil mendekati Ura-Ura dengan harapan dapat memujuk gundah hati seekor ibu.
“Sabar, Ura-Ura. Beginilah nasib kita sekarang. Kau tengok Nyet. Dapat makan pisang benyek pun masih boleh bergembira. Kejap. Aku dengar Awa pun tak berapa sihat.” Ujar Kancil sambil tergelak melihat keletah Nyet dengan pisangnya.
“Betulkah Kancil? Kita patut melawat Awa.” Semangat Nyet menyampuk sambil melompat terkinja-kinja.
“Hilang akal kau Nyet. Entah-entah, Awa sakit kebuluran. Saat dia tengok kau, bagai pucuk ulam dicita. Berderap tulang-temulang kau, Nyet.” Seloroh Ura-Ura mengenakan Nyet.
Nyet menggaruk kepalanya yang renyam berkutu, lalu disuakan ke mulut. Endah tak endah pada usikan tersebut.
Sepantas kilat, terhambur gelak tawa mereka melihat gelagat Nyet yang sentiasa menghiburkan. Walaupun tampak ceria, Nyet pun ada sisi payah yang cuba disorokkan. Ancil sedar pakatan Monyet Bangkatan di hutan itu tidak lagi sehaluan. Mereka saling berbunuhan untuk mendapatkan makanan serta kawasan jajahan. Kuasa mampu mengaburkan perikehaiwanan – saudara dijadikan taruhan.
“Tidak mengapa kawan-kawan. Kita perlu bersatu untuk terus bertahan. Alam kita semakin lemah dan usang. Nasib kita ditentukan Yang di Atas Sana.” Ancil mengakhiri perbualan mereka sebelum beredar pulang ke sarangnya.
“Betul Ancil, tapi errr……”
Belum sempat Nyet menghabisi kata-kata, ditolehnya ke arah Ancil yang sudah terperangkap dalam jerangkap tajam yang dipasang oleh makhluk itu tadi. Ancil menggeletik-geletik untuk meloloskan diri sehingga meninggalkan titisan darah.
Seketika, Ura-Ura dan Nyet bungkam. Benarlah bagai firasat, hayat sejengkal dari kata-kata. Mulut mereka ternganga luas. Terpana pada ketidaktentuan nasib.
*******
Suria mencuri dengar perbualan tiga sahabat itu dengan penuh bangga. Keluh-kesah yang dibicarakan oleh penghuni Santubong itu membuatkan dia terasa hebat yang meletakkan situasinya sebagai pengawal suhu alam.
Awan dan Bayu saling menjebik menghitung riak kesombongan Suria. Mereka sebaliknya bersimpati terhadap nasib makhluk-makhluk kecil di bawah sana. Keadaan panas yang berterusan menyebabkan mereka menerima nasib yang berbeza. Itu belum lagi tentang berita kebakaran hutan disebabkan iklim yang terlalu panas dan banyak jiwa yang terkorban.
Awan semakin tidak selesa dengan tubuhnya yang kian berat. Jiwa dan emosi Bayu pula bercelaru.
“Dengan kuasaku, tumbuhan dapat terus hidup subur dengan tenaga yang aku berikan. Aku juga punca cahaya.” Bongkak Suria mempamerkan jasanya pada jagat.
Awan meluat melihat kelakuan Suria. Langsung tidak boleh ditegur. Makin menjadi-jadi sikap takburnya tanpa tercuit rasa empati.
“Tapi kau kena ingat Suria. Ada lagi kuasa yang lebih hebat daripada kamu. Pemanasan hanya menyusahkan kita semua.” Tegas Awan memberanikan diri menongkah keangkuhan Suria dengan harapan terbuka ruang untuk menginsafi ketelanjuran kata-katanya.
“Kita ni saling bergantungan antara satu sama lain. Tiada yang mampu berdiri dengan sendiri.” Awan mengakhiri pertelingkahan itu dengan rembesan air matanya yang maha lebat; tubuhnya tidak dapat menampung busa-busa yang terlalu tebal menyelimuti diri. Berhari-harian cucurannya melimpah sehingga banyak tanah-tanah rendah ditenggelami air.
Hakisan tanah mula terjadi. Daya yang dihasilkan oleh titisan hujan adalah sangat kuat sehinggakan granul-granul tanih yang dahulunya benteng telah tercungkil dan terpecah-pecah, lalu menghasilkan alur yang deras.
Sungai kecil mula meningkat paras airnya dengan lambakan kayu-kayu hanyut dan sampah sarap yang mengalir deras ke muara. Sekelip mata warnanya bertukar warna sepekat air teh yang dibancuh bonda.
Bayu pula merengsa dengan pukulan yang sangat dahsyat kerana tidak tahan dengan tekanan udara yang terlalu mampat. Udara panas dari permukaan lautan mencungap naik ke atas lalu meninggalkan ruangan bertekanan rendah. Maka terjadilah ribut taufan membuatkan pepohon di rimba Santubong meliang-liuk dihentam angin ganas. Suasana yang sangat dahsyat disaksikan sendiri dengan kepala mata Suria. Gulungan ombak setinggi sepuluh kaki di pesisir pantai seakan-akan garang untuk menelan mangsa.
Prap….pap…!!!!!!!!!!!!!!
Lantai hutan makin berselerakan dengan daun dan dahan kering yang patah tatkala kanopinya terbuka luas.
Suria terpempan menyaksikan fenomena tersebut. Sinarannya dilindungi awan gelap yang tebal disusuli tempikan guntur yang menghentam. Terkedu Suria mengenangkan dia bukanlah khalifah alam ini. Dia juga bukanlah sebuah kuasa yang hebat. Pencabulan alam menyebabkan Suria hilang kewarasan. Kegilaan itu membunuh sang pendosa yang mengganggu keseimbangan semesta.
*******
Nyet merasakan sesuatu yang tidak kena. Hujan masih tidak mahu berhenti hingga berlecak lantai. Sesekali, Nyet hampir tersembam ke tanah kerana genggamannya tergelincir semasa bergayut di dahan licin.
Sempat juga Nyet membuat teduhan pada perangkap Ancil yang terlihat semakin lemah. Pada masa yang sama, jenuh juga Nyet mencari daun ludai dan maya untuk menyua makan kepada Ancil.
Namun hari ini tampak berlainan daripada biasa. Deruan angin kuat itu mampu menggoyangkan banir pohon besar di Hutan Santubong sehingga terpisah dari tanah. Lalu terpaan rebahan pohon itu menggerunkan Nyet yang tidak keruan. Keadaan sekelilingnya begitu huru-hara seperti hendak kiamat.
Mata Nyet terbuntang melihat Ancil. Terhambur rasa sedihnya.
“Maafkan aku, Ancil.” Nyet bergayutan meninggalkan Ancil yang sudah terkulai layu dalam perangkap yang dihempap pokok tumbang.
Ancil mendengus kuat mencuri nafas sebelum nyawa putus dipukul alam. Pertelingkahan alam yang berlaku pasti ada natijahnya. Yang lemah tetap menjadi mangsa. Tiada penyesalan berputik dalam diri Ancil. Sewaktu terperangkap, Nyetlah selalu menghulurkan daun maya supaya dia tidak mati kebuluran. Ura-Ura sentiasa menemaninya untuk berbual-bual. Benarlah, mereka bersahabat sehingga ke hujung nyawa. Perjanjian yang telah mereka meteraikan dahulu menjadi saksi persahabatan yang dibina.
Sebelum menutup mata, air mata Ancil menitis apabila melihat sahabatnya, Ura-Ura bergolek-golek dibawa arus kepala air. Tercungap-cungap sehingga lenyap daripada pandangan mata Ancil. Benarlah empangan di Hutan Santubong telah memuntahkan isinya dan gulungannya telah menelan sesiapa yang berani menghalang perjalanan ganasnya ke hilir.
Peluput Kancil terus terkatup serapat-rapatnya setelah akur melihat keganasan alam yang tidak dapat disangkal lagi. Nyawa tidak berdosa menjadi pertaruhan angkara sang pencabul alam.
Oleh Mohd Fadzly Haji Miswan