

SPAOH: Rakyat Sarawak digesa untuk terus memperkukuh semangat perpaduan dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan bahawa kesatuan rakyat adalah tunjang utama bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar meskipun berdepan pelbagai cabaran global dan domestik.
Menurut beliau, keharmonian antara kaum dan agama yang terjalin erat di Sarawak bukan sekadar identiti, malah merupakan aset paling berharga yang memudahkan urusan pentadbiran kerajaan negeri.
”Dalam suasana yang sangat mencabar ketika ini, kita mesti terus mengeratkan perpaduan sesama kita dan memberi sokongan padu kepada Premier Sarawak supaya beliau dapat terus membangunkan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Agihan Bubur Lambuk dan Program Spaoh Bersungkey Bersama Pemimpin yang berlangsung di sini, semalam.
Uggah menjelaskan bahawa kestabilan politik yang dinikmati hasil sokongan rakyat telah membuahkan hasil melalui transformasi ekonomi baharu serta penyediaan infrastruktur yang lebih moden dan inklusif.
Bagi kawasan Spaoh dan Bahagian Betong secara amnya, beliau menyatakan bahawa pelbagai projek berimpak tinggi kini sedang rancak dilaksanakan bagi menaik taraf taraf hidup penduduk setempat.
Antara projek yang menjadi tumpuan termasuklah Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling yang kini hampir siap sepenuhnya serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa projek Jambatan Sungai Paku dijangka siap pada April depan, di samping pelbagai inisiatif lain di bawah seliaan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Menyentuh mengenai pembangunan syiar Islam, Uggah menyifatkan kelulusan peruntukan RM20 juta oleh Premier Sarawak untuk menaik taraf masjid dan rumah tamu di Kampung Spaoh sebagai satu “hadiah” yang sangat bermakna.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan kebajikan, di mana 10 surau di sekitar Spaoh menerima peruntukan berjumlah RM5,000 setiap satu manakala Masjid Al Syifa menerima RM10,000.
Keprihatinan kerajaan turut dirasai oleh 942 Ketua Isi Rumah (KIR) yang masing-masing menerima sumbangan RM300, selain empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menerima RM5,000 setiap satu.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah isteri beliau, Datin Amar Dato Doreen Mayang; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai; serta Ketua Wanita PBB N.37 Bukit Saban, Natasha Nasa Douglas.
Oleh Adi Safarman