
SARATOK: Pertandingan Menyumpit Terbuka Saratok bersempena Majlis Ngiling Tikai Gawai Bahagian Betong 2025 telah mendapat penyertaan seramai 80 orang peserta dari dalam dan luar Daerah Saratok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik turut menyatakan komitmen untuk menjadikan aktiviti warisan ini sebagai tarikan pelancongan berasaskan budaya di kawasan tersebut.
Beliau berkata pertandingan menyumpit bukan sahaja berperanan memelihara budaya dan warisan masyarakat pribumi malah berpotensi tinggi untuk diketengahkan dalam industri pelancongan komuniti.
“Sukan tradisional seperti menyumpit adalah identiti unik rakyat Sarawak yang harus diketengahkan kepada pelancong dari dalam dan luar negeri.
“Kita mahu warisan ini terus hidup dan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan,” katanya semasa berucap pada Pertandingan Menyumpit Terbuka Saratok bersempena Majlis Ngiling Tikai Gawai Bahagian Betong 2025 bertempat di Dataran Sri Kalaka, semalam.

Friday berkata pertandingan tersebut turut menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penyertaan pengunjung luar yang ingin mencuba sendiri kemahiran menyumpit.
“Saya berharap pertandingan ini akan dianjurkan lagi di masa hadapan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung luar serta memperkukuh semangat perpaduan melalui warisan budaya,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman