ADENG IDRUS
LIMBANG: Perpaduan ummah bukan hanya untuk umat Islam sahaja, sebaliknya merangkumi seluruh masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Interaksi antara masyarakat majmuk ini perlu terus dipelihara dengan amalan saling menghormati, toleransi untuk meningkatkan kesejahteraan bersama.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut menyeru agar masyarakat terus memberi perhatian dalam aspek pendidikan dan menguasai bidang kemahiran untuk bergerak maju seiring dengan perkembangan dunia hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II dan Menteri Pembangunan Pembangunan Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menyatakan demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidil Fitri daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang(LAKIL) kepada petugas masjid dan surau, anak-anak yatim dan ibu tunggal di Pejabat Residen Bahagian Limbang semalam.
Seterusnya Awang Tengah mahu setiap masyarakat memainkan peranan masing-masing dalam berhadapan norma kehidupan baharu akibat wabak Covid-19.
Amalan menjaga kebersihan diri, penjarakan sosial dan pemakaian penutup mulut dan hidung perlu dipatuhi dalam usaha mengekang wabak yang masih belum ada vaksin penyembuh.
Oleh itu, sambutan Hari Raya dan Gawai tahun ini akan menjadi sesuatu yang berbeza dan menuntut masyarakat terbabit untuk berkorban kemeriahan sambutan perayaan demi keselamatan semua.
Mereka harus menerima hakikat untuk mengadaptasi kehidupan dalam norma baru yang jauh sekali daripada amalan terdahulu.
Aspek keselamatan dan kesihatan diri perlu diutamakan kerana untuk menunggu terhasilnya vaksin penentang Covid-19 pasti memakan masa lama.
Namun segalanya dapat diatasi dengan mematuhi segala arahan PKPB serta memenuhi segala SOP yang telah digariskan oleh kerajaan.
Beliau mahu agar sumbangan ini diagih dengan mengikuti SOP dan peraturan arahan PKPB.
Turut hadir Menteri Muda Pertanian, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi serta wakil penerima sumbangan.
Seramai 215 petugas surau dan masjid menerima sumbangan diikuti 72 orang anak yatim dan 172 orang ibu tunggal daripada Daerah Limbang.