
LAWAS: Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas akan meneruskan komitmen mereka dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan Daerah Lawas.
Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintenden Polis (DSP) Liong Tindan memberitahu usaha mereka itu turut memerlukan penglibatan masyarakat setempat.
“Kita juga meminta agar masyarakat di Daerah Lawas untuk berkongsi maklumat yang sahih, yang mana sekarang ia mudah dikongsi dalam pelbagai medium media sosial.
“Ini bagi mengelak pelbagai kesan yang memudaratkan masyarakat hasil penyebaran maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan rakyat,” katanya pada Perhimpunan Hari Polis Ke-218 di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas hari ini.
Liong turut berkongsi keupayaan PDRM Lawas dalam memerangi kes jenayah di Lawas, antaranya kejayaan menyelesaikan kes pecah masuk kaunter sebuah hotel minggu lalu dalam tempoh 24 jam serta menyelesaikan kes samun sebuah kedai, tiga hari selepas jenayah berlaku.
Selain itu, kejayaan lain sepanjang 2024 ialah penangkapan seramai 376 pesalah pelbagai kes berkaitan dadah, yang mana 77 orang ditangkap atas kesalahan memiliki dan pengedaran dadah.
Seramai 299 orang daripada jumlah tersebut didapati positif dadah dan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada masa sama, sejumlah 258.49 gram dadah telah dirampas, iaitu dadah jenis syabu (254.7 gram) dan ganja (3.70 gram).
Bagi kesalahan trafik pula, PDRM Lawas telah mengeluarkan sebanyak 1294 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya pada tahun lalu dan menyaksikan 25 kes jenayah komersil direkodkan, yang melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM471,700.11.
Selain itu, IPD Lawas juga tidak berkompromi dengan sebarang kes berkaitan dadah yang melibatkan anggota atau pegawai PDRM Lawas.
“Bagi memerangi dadah, kita telah mengarahkan semua pegawai dan anggota untuk menguatkuasakan undang-undang penyalahgunaan dadah di daerah ini,” tambahnya.
Liong kemudian memberitahu PDRM Lawas akan terus menjalankan program mendekati masyarakat khususnya melalui kerjasama One Stop Centre OSC) yang dipengerusikan Pegawai Daerah Lawas.
Pada perhimpunan tersebut, beliau turut menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada anggota PDRM Lawas yang telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang 2024.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan jabatan-jabatan kerajaan lain.
Turut hadir pasukan Rejimen Kawalan Sempadan Tentera Diraja Malaysia.
Oleh Adeng Edrus