KUCHING: Perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum serta agama menjadi asas kekuatan Sarawak untuk terus berkembang dan melakar kemajuan dalam pelbagai bidang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keamanan yang dinikmati negeri ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya dibina dan dipelihara sejak sekian lama menerusi sikap saling menghormati, memahami dan menerima kepelbagaian.
“Ini adalah apa yang kita banggakan dan inilah yang kita harapkan untuk terus membentuk kesatuan Sarawak.
“Sarawak akan terus berkembang dan mencapai kesejahteraan ekonomi, sosial serta alam sekitar, seterusnya menjadi tempat yang mempunyai banyak peluang dan masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Rumah Ibadat Mesra (Friendly Houses of Worship – Friendly HOW) Siri 2/2026 yang menghimpunkan wakil rumah ibadat dan komuniti agama dari kawasan Stampin, Kota Sentosa, Batu Kitang dan Batu Kawa, di sini malam tadi.
Program berkenaan menghimpunkan wakil komuniti Kristian, Buddha, Tao, Hindu, Sikh dan Bahá’í, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian agama yang menjadi sebahagian daripada identiti Sarawak.
Menurut Uggah, program berkenaan menyediakan platform dalam suasana santai untuk wakil rumah ibadat membina hubungan, mengeratkan silaturahim serta berinteraksi secara langsung dengan beliau dan pengurusan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Program seperti ini memberi kita peluang untuk bertemu, berbincang dan saling memahami antara satu sama lain. Apabila kita lebih memahami antara satu sama lain, kita akan menjadi lebih kuat sebagai sebuah masyarakat dan sebagai sebuah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, selain menguruskan bantuan kewangan kerajaan Sarawak kepada rumah ibadat agama-agama lain dan sekolah mubaligh, UNIFOR turut memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan serta memperkukuh keharmonian antara komuniti pelbagai agama.
Katanya, kekuatan perpaduan itu perlu terus dipertahankan bagi memastikan Sarawak mampu menghadapi cabaran masa depan termasuk perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan ekonomi global.
Dalam pada itu, Uggah berkata kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan dan memperkukuh kedudukan ekonomi negeri.
Menurutnya, peningkatan hasil Sarawak membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak peruntukan untuk pembangunan serta kebajikan rakyat, termasuk dalam sektor pendidikan dan infrastruktur.
“Pelaksanaan projek jalan raya dan jambatan juga terus dipercepatkan bagi meningkatkan kesalinghubungan serta membuka lebih banyak peluang pembangunan,” katanya.
Uggah menegaskan bahawa kemajuan Sarawak tidak hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi kesejahteraan rakyat serta kekuatan hubungan dalam masyarakat.
“Kita perlu terus bersatu. Apa yang kita ada dan nikmati hari ini adalah hasil daripada perpaduan rakyat Sarawak.
“Jika kita terus bersatu dan saling membantu, kita akan dapat menghadapi masa depan dengan lebih baik supaya anak-anak dan cucu kita dapat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya terus memberikan pandangan dan idea kepada kerajaan bagi membantu memperkukuh perancangan pembangunan Sarawak menuju 2030.
Penganjuran Friendly How Siri 2/2026 meneruskan usaha UNIFOR mendekati komuniti agama di peringkat akar umbi selepas siri pertama yang melibatkan kawasan Padungan, Pending dan Batu Lintang.
Program itu turut menjadi ruang kepada wakil rumah ibadat dan komuniti agama untuk bertukar pandangan serta berinteraksi secara langsung dengan pihak UNIFOR, sekali gus memperkukuh persefahaman dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama isteri, Datin Amar Dato Enn Ong Siok Ean, serta isteri Uggah, Datin Amar Dato Doreen Mayang.
Oleh Adi Safarman





