KUCHING: Kerajaan menyokong penuh penglibatan persatuan alumni pasukan keselamatan untuk terlibat dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi di negeri ini,
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sudah tiba masanya untuk persatuan berkenaan keluar dari konsep hanya dikenali semasa musim perayaan atau ‘wheelchair culture’ iaitu ketika menerima bantuan.
“Sudah tiba masanya persatuan-persatuan mempelbagaikan usaha dan aktiviti yang boleh menyumbang dari pelbagai sudut pembangunan pertanian secara moden seperti taman agro atau bidang pertanian moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laman Sesawang dan Logo Persatuan Alumni Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, semalam.
Abang Johari berkata, pucuk pimpinan persatuan ini misalnya boleh melihat dan mengkaji potensi pertanian yang ada sekarang dan boleh dibangunkan seperti tanaman menegak (vertical farming) yang semakin banyak diusahakan pada masa kini bagi menjana pendapatan.
Abang Johari turut menasihatkan kepimpinan persatuan tersebut untuk mengatur susun pengurusan dengan baik supaya dapat berkembang dalam usaha untuk membantu ahli-ahli persatuan yang lain dari segi ekonomi dan sosial.
Dalam pada itu, beliau yakin bekas anggota dan pegawai polis dapat terus menyumbang kepada masyarakat sebagai pemimpin kerana masih mempunyai tahap disiplin yang tinggi.
“Sebab itu ramai mereka diberi kepercayaan untuk menjadi tuai rumah, ketua kampung malah pemanca dan temenggung selepas mereka bersara dari perkhidmatan,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO