SIMANGGANG: Peniaga dan pengunjung Pasar Tamu Sri Aman baharu diingatkan agar serius mengamal prosedur operasi standard (SOP) ketika berurusan di lokasi tumpuan ramai itu kelak.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, tindakan itu penting agar Pasar Tamu Sri Aman kekal selamat dan bebas daripada kehadiran virus Covid-19 dari masa ke semasa.
“Antara SOP yang perlu dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung di sini adalah membuat imbasan suhu badan, daftar masuk ke lokasi menerusi aplikasi MySejahtera atau menulis nama, suhu serta waktu hadir di buku yang disediakan oleh pihak berwajib.
“Lakukan ini demi keselamatan nyawa anda semua. Dengan berbuat demikian maka kita secara tidak langsung dapat melindungi diri sendiri dan membolehkan pengesanan kontak rapat dibuat jika timbul kluster Covid-19 di pasar itu nanti,” kata beliau.
Selain itu, Harden ketika meninjau pembukaan semula pasar tamu berkenaan pada Jumaat lepas berkata, Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) perlu memastikan SOP di lokasi itu dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung dari masa ke semasa.
Malah pihak MDSA katanya, lagi harus bertindak menyediakan laluan keluar masuk di pasar tamu tersebut dan menutup mana-manan laluan yang tidak dibenarkan bagi tujuan pengunjung selama ini.
“Pihak majlis juga boleh berbincang dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) untuk menggunakan khidmat anggota RELA berkawal dan mengadakan rondaan pematuhan SOP Covid-19.
“Cadangan berkenaan adalah baik demi memastikan setiap peniaga dan pengunjung pasar tamu diperiksa sejajar dengan penyesuaian diri terhadap norma baharu kehidupan dalam aktiviti perniagaan di sini,” kata beliau.
Turut hadir pada upacara pembukaan pasar itu adalah Walikota MDSA, Anthony Abell Chendan, Setiausaha MDSA, Tay Guan Huat, Pegawai Kesihatan Persekitaran dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman, Phang Soon Yien, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MDSA, Fiona Bunu Joseph Lepa dan Pemanca Lee Siang Hua.
Oleh VALENTINE NGUMBANG