
KUCHING: Kehadiran 94 gerai yang menawarkan pelbagai jenis juadah makanan dan minuman kembali memeriahkan suasana di Bazar Ramadan Satok di tengah bandaraya Kuching.
Para peniaga tampil dengan semangat dan harapan tinggi, menjadikan Bazar Ramadan Satok bukan sekadar tempat berniaga, tetapi juga medan mencipta rezeki di bulan penuh keberkatan.
Bazar tahun ini merangkumi 72 gerai makanan, 18 gerai minuman dan empat gerai panggang, terdiri daripada makanan tradisional hingga ke menu moden yang tular di media sosial, menjadi tumpuan penduduk sekitar sebaik sahaja dibuka petang tadi.
Peniaga Nasi Kandar Haji Leh, Sharmiza Nazlini, 35, berkongsi pengalaman pertamanya berniaga di Bazar Ramadan Satok selepas bertahun-tahun merantau ke Sibu, Bintulu, Sabah dan Kuala Lumpur.
“Syukur, hari pertama tak mengecewakan, teramat padu! Walaupun datang lambat dan tengok tempat dah penuh, tapi sokongan orang Kuching sangat luar biasa.
“Saya harap mencuba nasib berniaga di Kuching dapat mendatangkan keuntungan yang baik seperti pengalaman berniaga di Sibu sebelum ini, yang mana keuntungan yang diperoleh setara dapat membina sebuah rumah,” katanya penuh semangat.

Selain itu, pemilik gerai sushi yang dikenali sebagai Norhasynah, 48, memberitahu keunikan menu yang ditawarkan menjadi daya tarikan tersendiri di bazar tersebut.
“Saya pilih jual sushi sebab nak beri kelainan berbanding makanan tradisional yang biasa dijual.
“Sambutan pelanggan sangat hangat, sebab itu saya kekal berniaga di sini. Jumlah pengunjung yang ramai, saya yakin peluang berniaga di Bazar Ramadan Satok adalah sesuatu yang tidak boleh dilepaskan,” ujarnya.

Seorang peniaga minuman pula, Nur hafira, 20, menyatakan keterujaannya menyertai bazar ini buat pertama kali selepas berniaga di tempat lain sebelum ini.
“Saya memang dari awal merancang untuk jual air kerana ini adalah perniagaan bersama keluarga.
“Rasa bangga dapat berniaga di sini kerana tumpuan orang ramai sangat tinggi. Harap semuanya berjalan lancar dan peniaga lain pun berani sahut cabaran,” jelasnya.
Selain menjadi pusat jual beli makanan, Bazar Ramadan Satok 2025 turut menjadi simbol perjuangan dan harapan para peniaga kecil yang ingin mengembangkan perniagaan mereka.
Melalui kehadiran pelanggan yang ramai, bazar ini terus menjadi nadi ekonomi kecil yang berkembang pesat setiap kali menjelang Ramadan.
Oleh Masrin Affirah