IKAN Terubuk dari Sungai Batang Lassa sentiasa menjadi ‘buruan’ kerana tekstur dagingnya lebih ‘cantik’ dan manis berbanding yang diimport.
Di Sungai Batang Lassa, spesies ikan itu atau dikenali dengan nama saintifik, Tenualosa macrura, hanya boleh diperoleh di Selat Melaka dan Madagascar.
Ikan terubuk mendapat permintaan yang tinggi dengan harga pasaran boleh mencecah sehingga ratusan ringgit.
Telur terubuk segar juga menjadi buruan pembeli, dengan harganya boleh mencecah ratusan ringgit sekilogram.
Musim bertelur ikan terubuk kebiasaannya dari bulan Jun hingga Oktober setiap tahun.
Pendapatan yang lumayan itu membuatkan nelayan sanggup bersabar dan bersengkang mata kerana lebih banyak terubuk ditangkap, semakin tinggi pulangan dapat diraih.
Seorang nelayan dikatakan mampu ‘melabuh’ antara dua hingga tiga pukat ketika air pasang untuk mendapat terubuk jenis itu.
Masa sekurang-kurangnya tiga hingga lapan jam diperlukan untuk menaikkan ikan terubuk. Dengan ia adalah tertakluk kepada keadaan air.
Jika bernasib baik, seorang nelayan boleh mendaratkan tiga hingga lima ekor ikan dalam satu-satu masa.
Tidak ramai tahu, ikan ini juga dikenali sebagai ’emprit’. Lazimnya, emprit saiznya lebih kecil dan lebih banyak tulang berbanding terubuk dewasa.
Hanya mereka yang pakar, berpengalaman dan tahu habitat terubuk mampu menaikkan ikan berkenaan.
Sifatnya yang liar dan agak sensitif dengan persekitaran juga menyebabkannya sukar diperolehi.
Kira-kira seramai 200 nelayan menjalankan aktiviti penangkapan ikan terubuk di Sungai Batang Lassa, kebanyakan mereka adalah dari perkampungan nelayan di sekitar Daro, Kampung Badong, Kampung Tebaang, Kampung Itol dan Kampung Pangtray.
Mereka bertuah kerana dikurniakan Sungai Batang Lassa, antara lokasi tumpuan bagi mendapatkan bekalan ikan terubuk segar di Sarawak, selain Sungai Batang Lupar.
Oleh AKUN GIMAN