Baru-baru ini, Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman menganjurkan Community Extension Outreach Program (CEOP) bertempat di Rumah Belai Antot, Brangan Ili, Nanga Skrang, Engkilili.
Tujuan utama CEOP berkenaan adalah untuk membuka minda para penduduk luar bandar mengenai kebaikan menceburi bidang pertanian komersial dengan mengusahakan tanah milik masing-masing.
Disertai seramai 98 orang penduduk dari enam buah rumah panjang di kawasan ini, program selama sehari berkenaan telah pun diselit dengan taklimat-taklimat berkaitan topik pertanian yang bersesuaian dengan keperluan setempat.
Antara topik yang telah ditekankan oleh Jabatan Pertanian menerusi program berkenaan adalah penanaman padi, nanas, jagung, perikanan darat dan penternakan veterinar.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis ketika merasmikan program itu mengajak penduduk untuk menjadi usahawan tani dengan mengusahakan tanah masing-masing.
Selain menambah pendapatan keluarga katanya, penduduk luar bandar juga secara tidak langsung dapat mengeluarkan diri mereka daripada kepompong kemiskinan dengan mengusahakan tanah masing-masing menerusi pelbagai projek pertanian sedia ada.
Sementara itu usahawan tani merujuk kepada kelompok individu yang mengusaha dan mengeluarkan produk pertanian asas termasuk tanaman, ternakan, akukultur, agropelancongan, jahitan, jerami dan kompos.
Golongan ini boleh dibahagi mengikut sektor seperti Industri Asas Tani yang tertumpu kepada penghasilan sesuatu produk melalui pemprosesan bahan mentah hasil daripada pertanian seperti pisang bagi menghasilkan kerepek pisang dan sebagainya.
Golongan usahawan tani bagi sektor Produk Segar pula tertumpu kepada pembuatan produk-produk tanaman hasil pertanian belum proses seperti jagung, beras dan sebagainya, manakala Sektor Bukan Makanan Penghasilan tertumpu kepada sesuatu produk jenis bukan makanan melalui pemprosesan bahan-bahan mentah hasil daripada pertanian kepada sesuatu produk yang lain seperti penggunaan jerami padi bagi penghasilan baja kompos.
Penduduk luar bandar di negeri kita mungkin kurang arif terhadap kerjaya usahawan tani. Ini kerana rata-rata penduduk luar bandar lebih cenderung terhadap penanaman kelapa sawit, getah, lada dan koko di tanah masing-masing.
Mungkin sudah tiba masanya untuk lebih ramai penduduk luar bandar dalam negeri ini terutama sekali anak muda untuk mencuba tanaman baharu selain daripada empat jenis tanaman komersial di tanah masing-masing kelak.
Jika tidak mahu mengusahakan tanaman mungkin penduduk luar bandar boleh mencuba bidang penternakan seperti ikan, lembu, kambing dan sebagainya di atas tanah mereka sendiri menerusi khidmat nasihat dan bantuan kerajaan.
Kerjaya usahawan tani boleh mengubah status kehidupan sesebuah keluarga. Selagi penduduk luar bandar mempelajari tips untuk menceburi bidang perniagaan pertanian maka mereka mungkin boleh menjadi usahawan tani yang berjaya pada masa akan datang.
Paling penting sekali ialah jangan biarkan tanah ditumbuhi semak tanpa diusahakan. Sama ada penduduk mahu bergiat mengusahakan tanaman komersial di atas tanah masing-masing ia adalah terpulang ke keputusan mereka sendiri.
Bagaimanapun jika mereka ingin mencuba kerjaya usahawan tani mungkin tiada salahnya. Mana tahu anda mungkin akan menjadi salah seorang usahawan tani yang berjaya di dalam negeri ini dan menjadi ikutan petani lain di masa akan datang.
Oleh Valentine Ngumbang