KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak mewujudkan kerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi menerokai peluang dan program baharu jangka panjang melibatkan produktiviti dan inovasi.
Menterinya, Dato’ Sri Fatimah Abdullah menerima kunjungan hormat daripada MPC yang diketuai Pengarahnya, Dato Abdul Latif Abu Seman bertempat di Baitul Makmur di sini, semalam.
Antara objektif kunjungan adalah merangka program baharu yang melibatkan kluster kulinari, kecantikan, urutan dan spa serta jahitan kreatif.
Manakala, input perbincangan adalah mengenai Business Webinar Virtual Advisory Clinic (VAC), Mentor Virtual, Penyelarasan Virtual dan Latihan Virtual iaitu program bertujuan membantu usahawa, peniaga dan penjaja untuk mengukuhkan strategi perniagaan yang terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19.
Program itu turut memberi khidmat nasihat, latihan dan pemantauan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan membantu mereka mengembangkan operasi dan perniagaan selain sesi diberikan percuma secara atas talian di antara usahawan yang terpilih dengan Pakar Industri yang dilantik MPC.
Kunjungan turut membincangkan untuk mewujudkan profail syarikat menggunakan pendekatan kecemerlangan perniagaan berdasarkan tujuh kriteria utama bagi membantu organisasi dari semua saiz dan sektor untuk mencapai kecemerlangan organisasi.
Selain itu, antara turut disentuh adalah mengenai geran skim peningkatan produktiviti enterprise (SPPE) 2020 – Malaysia Productivity Blueprint(SPPE-MPB), sebanyak 600 organisasi seluruh Malaysia yang mengamalkan sistem sistem pengurusan produktiviti dan inovasi yang berkesan (2017- 2020).
RancanganMalaysiake-11(RMK11) turut menekankan bahawa PKS akan digalakkan untuk mempertingkatkan penggunaan automasi dan inovasi dalam proses pengeluaran dan perkhidmatan perniagaan.
Fasilitasi ini akan membolehkan PKS lebih berinovasi dan mengkomersialkan produk dan perkhidmatan dengan peruntukan pada 2017 sebanyak RM5 juta, 2018 (RM6 juta), 2019 (RM6 juta) dan 2020 (RM7 juta) merangkumi peruntukan sejumlah RM24 juta bagi tempoh empat tahun dengan 20 syarikat PKS di Sarawak telah menyertai Geran SPPE itu.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Noriah Ahmad, Pengarah MPC Wialyah Sarawak Sarimah Misman dan Setiausaha Korporat MPC Roseleena Hashim.
Oleh Zarina Abdullah