
KUCHING: Projek ternakan ayam penelur mampu menjadi platform strategik dalam memperkukuh keterjaminan makanan dan melonjakkan ekonomi luar bandar.
Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata, inisiatif melalui koperasi bukan sahaja menyediakan sumber bekalan makanan berterusan, malah berupaya membuka peluang keusahawanan kepada penduduk pedalaman.
“Pada masa ini, keselamatan makanan amat dititikberatkan. Oleh itu, ilmu yang bakal dikongsikan oleh pemberi latihan sangat berguna untuk memberi pendedahan kepada penduduk kawasan pedalaman.
“Selain itu, sekiranya kita dapat menternak ayam penelur, ia bukan sahaja membekalkan daging, malah telur ayam juga boleh dipasarkan.
“Langkah ini sekali gus dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan ahli-ahli koperasi,” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi Koperasi Kampung Tuba Simunjan Berhad (KKTSB) di pejabatnya di Tabuan Jaya, semalam.
Beliau turut menyambut baik penganjuran Program Bicara Ilmu Potensi Penglibatan Koperasi Luar Bandar Dalam Projek Ternakan Ayam Penelur oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMA) Cawangan Sarawak bersama KKTSB pada 9 Mei ini di Rumah Ngumbang Santok, Kampung Tuba.
Tambah Doris, Kampung Tuba merupakan kawasan pedalaman di bawah seliaannya, manakala KKTSB adalah satu-satunya koperasi aktif di Sri Aman dan antara yang berjaya di Sarawak.
“Oleh itu, sebagai sokongan saya akan hadir merasmikan program tersebut dan berharap penduduk setempat tidak melepaskan peluang hadir untuk menimba ilmu,” ujarnya.
Program berkenaan merupakan kali ketiga dianjurkan KKTSB sebagai projek komuniti, dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan beberapa agensi bukan kerajaan lain.
Turut hadir Pengerusi KKTSB, Dr Tamoi Janggu, Tuai Rumah Ngumbang Santok, Tuai Rumah Gura Empulu serta Ahli Lembaga Koperasi.
Oleh Carolyne Utih