Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19 menyaksikan hobi memelihara ikan laga mencetus fenomena di negara ini malah ada dalam kalangan pencinta ikan itu bertukar kerjaya sebagai pengusaha.
Di halaman sebuah rumah di Jalan Haji Amir, Kampung Batu 7, Simpang Renggam, dekat sini, seorang pengusaha ikan laga, Mohd Faizal Khamis atau mesra dipanggil ‘Ijal’, 38, mengakui tidak menang tangan melayan pelanggan yang ‘gilakan’ ikan hiasan itu, malah ada antara pelanggannya sanggup menghabiskan masa hampir 10 jam memilih ikan itu supaya ia benar-benar yang terbaik.
Dengan berkerusi roda, Ijal yang bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) akibat penyakit saraf ketika berumur 11 tahun berkata, ikan laga atau ‘betta’ yang saiznya cuma sebesar jari kelingking itu, bukan sahaja mempunyai lenggok pergerakan yang mengasyikkan para pencintanya malah memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya.
“Seingat saya, hobi memelihara ikan laga dalam kalangan masyarakat memuncak pada 2016, namun, ketika PKP mula dilaksanakan, hobi ini mendapat sambutan lebih ‘dahsyat’ kerana orang ramai mempunyai banyak masa terluang di rumah sehinggakan saya sendiri pun tidak mampu membekalkan ikan dalam kuantiti banyak.
“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, saya berasa sangat seronok apabila melihat ramai orang mula berkunjung ke rumah bagi memilih sendiri baka ikan, malah ada yang sanggup datang seawal 9.00 pagi dan pulang 7.00 petang semata-mata mahu berpuas hati terhadap ikan dipilih,” katanya yang ditemui BERNAMA di rumahnya, baru-baru ini.
DARI HOBI BERTUKAR MENJADI PENGUSAHA
Menyingkap pembabitan awalnya terhadap usahanya itu, Ijal berkata ia bermula sebagai sekadar hobi pengumpul haiwan itu pada 2007 sebelum membiakkannya secara serius dan komersial pada 2013, hasil pembacaan teknik ternakan ikan itu secara dalam talian di laman blog dan Facebook.
Dengan bermodalkan kira-kira RM200 pada tujuh tahun lepas setelah membeli sepasang ikan laga baka tempatan, dia tidak menoleh ke belakang untuk membela ikan berkenaan, sekali gus kini berjaya mewujudkan ‘kebun mini’ pembiakan ikan itu termasuk ternakan makanannya iaitu kutu air atau moina, yang dibiakkan dalam takungan air alga hijau (chlorella).
Ketika ini ‘kebun mini’ di halaman rumahnya itu menempatkan kira-kira 1,000 ekor ikan laga matang dan anak ikan laga spesies ‘Crown Tail’, ‘Half Moon’, ‘Giant’ serta ‘Dumbo’.
Kesemua ikan laga matang diletakkan di dalam bekas bersesuaian seperti balang kaca atau botol plastik yang disusun di atas rak manakala anak ikan laga pula dibiakkan di dalam besen dan baldi.
“Pada tahun 2013, saya terdetik untuk mencari pendapatan secara serius dengan hanya ingin memulakan pembiakan ikan gapi. Pada mulanya, saya sangkakan saya membaca satu artikel berkaitan pembiakan ikan gapi, namun, akhirnya baru saya sedar bahawa artikel itu adalah berkaitan ikan laga.
“Saya kemudian mula mengkaji satu persatu pelbagai maklumat berkaitan ikan laga menerusi laman blog dan mencari pihak penternak atau peniaga dalam laman Facebook lalu berjaya membeli sepasang baka ikan laga tempatan dan membiakkannya,” katanya dengan menjelaskan bintik putih pada bawah perut ikan laga menandakan bahawa jantinanya adalah betina.
‘CROWN TAIL’ JADI PILIHAN
Mengulas lanjut, Ijal berkata, ikan yang diusahakan menerusi syarikat Steady Betta itu, dijual pada harga antara RM10 seekor dan boleh mencecah RM2,000 sepasang mengikut keistimewaan ikan itu.
Ijal mengakui spesies ‘Crown Tail’ kerap menjadi pilihan pelanggan terutama dalam kalangan yang ingin menyertai pertandingan ikan laga.
Para pelanggannya pula meliputi seluruh negara malah ada yang sanggup datang dari Petaling Jaya dan Kelantan.
Sering berkongsikan tips penjagaan ikan laga dalam laman Facebooknya – ‘Atok Steady’, Ijal bersyukur usahanya mendapat sokongan ramai selepas tular di Facebook hasil perkongsian rakan-rakan malah mendapat perhatian Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, yang sekali gus memberikan bantuan simen bagi membuat lantai rak-rak ikannya.
Turut dibantu dan dipantau Jabatan Perikanan Daerah Kluang, Ijal yang menganggotai kelab ‘Johor Betta Fellow’ mempunyai ramai kenalan tempatan dan luar negara bagi berkongsikan maklumat penjagaan ikan laga termasuk Thailand, Brunei serta Vietnam.
“Setakat ini, saya hanya membiakkan Crown Tail, Half Moon, Giant serta Dumbo sahaja. Dahulu saya pernah biakkan spesies Plakat, namun, tidak serius.
“Saya juga tidak menjual ikan secara pos kerana tidak mahu menanggung risiko selain kekangan keupayaan diri,” katanya sambil membelek seekor ikan laga spesies ‘Crown Tail Black Orchid’ berwarna hitam miliknya.
PENYAKIT VELVET
Ibarat ‘langit tidak selalu cerah’, Ijal berkata pembiakan ikan laga mempunyai cabaran tersendiri sehinggakan dia pernah membuang ratusan ekor ikan itu pada satu masa akibat diserang penyakit ‘velvet’, yang mana faktor cuaca panas dan sejuk boleh menyebabkan ikan diserang parasit pada badan dan siripnya.
“Punca penyakit itu merebak apabila saya terkongsikan penyauk ikan yang dicelup dari balang ikan dijangkiti penyakit ke balang ikan sihat.
“Penyakit ini merebak dengan cepat, dalam tempoh tiga hari sahaja ikan menjadi lemah. Ketika awal serangan penyakit, kita boleh cuba meletakkan garam kasar ke dalam balang ikan sebagai usaha merawatnya,” katanya.
Menurut Ijal, dugaan terus menimpa apabila kira-kira 20 ekor ikan berisi di dalam 20 balang dan kutu air diternaknya didapati hilang beberapa bulan yang lepas, dipercayai dicuri pada waktu malam, namun, menganggapnya sebagai ‘asam garam’ perniagaan dan ujian Allah SWT untuk terus berjaya.
Walaupun bersyukur kerana ikan yang hilang itu bukan dari baka bergred tinggi, namun, Ijal masih berasa trauma terhadap kejadian itu yang menyebabkannya sentiasa berwaspada pada waktu malam dengan kini hanya sekadar ‘tidur-tidur ayam’.
“Seingat saya, sebelum kejadian itu, saya baru sahaja tukar air di dalam balang dan menyusun rapi kesemua 20 balang ikan itu lalu ibu memberikan ikan makan pada waktu petang.
“Saya menyedari kehilangan balang-balang ikan itu pada pagi keesokan harinya, ketika giliran saya untuk memberi ikan makan,” katanya.
OKU BUKAN HALANGAN
Dibantu ibunya, Mon Omar, 78, dan kakaknya, Rosie, 44, serta kadangkala mengupah pekerja harian bagi menggantikan air di dalam balang ikan, anak bongsu daripada 12 beradik itu tidak menganggap kekurangan dirinya sebagai halangan untuk berjaya.
Pernah menerima bantuan barangan pembiakan bernilai RM20,000 daripada Jabatan Perikanan Malaysia, dua tahun lepas, Ijal yang hanya bersekolah sehingga Tahun Enam berkata, mereka yang berjinak-jinak dengan ikan laga perlu mempelajari selok belok penjagaan ikan itu secara mendalam sebelum berhasrat membiaknya.
“Saya diserang penyakit saraf ini pada tahun 1992 iaitu semasa berusia 11 tahun. Seingat saya, ketika itu pukul 3.00 pagi, 2 Ramadan. Saya mula rasa sakit pada siku kiri dan terasa mahu buang air kecil tetapi tidak boleh.
“Saya cuba lagi tetapi tetap tidak boleh lalu emak kemudian memberi minyak angin untuk disapu. Semasa hendak keluar dari bilik tidur menuju ke ruang tamu, saya dapat rasakan kaki kanan menjadi kebas dan disusuli kaki kiri lalu menyebabkan saya jatuh terduduk di lantai dan pengsan,” katanya.
Tiga hari kemudian, dia menjalani pembedahan selepas doktor mengesan darah beku di tengkuknya yang tersekat pada saraf tunjang dan penyakit berkenaan seterusnya membuatkan dia lumpuh separuh pinggang ke bawah sehingga kini.
TEKNIK PENJAGAAN
“Nasihat saya kepada mereka yang ingin menternak ikan ini, ambil tahu teknik penjagaannya, pelbagai jenis spesies, warna, penyakit dan penggunaan daun ketapang.
“Kita juga kena jujur dengan pelanggan,” kata Ijal yang memberi ikannya makan palet dua kali sehari iaitu pagi dan petang selain kutu air.
Menurut Ijal, dengan dibantu rakan, dia lazimnya mengutip daun ketapang gugur di Pantai Punggur, Rengit dekat Batu Pahat dan daun itu kemudian direndam di dalam balang-balang ikan sebagai bahan semulajadi menurunkan nilai asid dalam air serta mengurangkan stres ikan.
Mengenai kutu air, Ijal menjelaskan dia mengikuti kursus berkaitan ternakan itu di Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar (FRI Glami Lemi) Jelebu, Negeri Sembilan, September lepas.
Dia juga kini baharu beberapa hari mencuba memberikan ikannya makan rumpai wolffia.
Mengenai pertandingan ikan laga, Ijal berkata dia kerap memasuki pelbagai pertandingan anjuran peringkat daerah, negeri dan beberapa negeri lain, dengan pernah memenangi tempat pertama hingga ketiga.
Dia pernah ditawarkan menjadi juri pertandingan, namun, menolaknya secara baik kerana kekangan dihadapinya
Untuk golongan senasib dengannya, Ijal menasihati mereka supaya hidup berdikari dan sentiasa mahu belajar sesuatu sekiranya mahu berjaya.
“Macam saya, dari tidak tahu apa-apa pada lapan tahun lepas, kini boleh menjadi penternak… dari zero, sampai hero,” katanya yang turut memiliki sijil pembaikan televisyen dan radio dari Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi, Selangor.– BERNAMA