Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Terkurung Dalam Dimensi 4 Penjuru
  • WBS

Terkurung Dalam Dimensi 4 Penjuru

Utusan Sarawak 22 hours ago

SEBAIK sahaja kau membuka mata, pandangan kau diterjah oleh satu ruang kosong yang dipenuhi dengan cat putih. Kau cuba bangkit dalam kepayahan sambil otak ligat mengenal pasti ruang ini.

Kau memerhati pada setiap penjuru dan dinding. Yang anehnya, ruang itu terkatup tanpa pintu. Apabila kau mendongak ke atas pula, siling kelihatan gelap seperti memandang langit malam yang suram tanpa bintang.

Umpama baru bangun dari lena yang panjang, tidak ada secebis ingatan pun yang terlintas dalam fikiran. Adakah sebelum ini kau diserang oleh musuh dan memukul kepala kau sehingga membuatkan kau amnesia lalu mengurung jasad kau? Adakah kau sebenarnya telah diculik oleh manusia yang mahukan organ dalaman untuk dijual?

Segala persoalan tidak akan terjawab jika kau hanya duduk di atas tilam empuk ini tanpa melakukan sesuatu. Lantas, kau bangun dari katil dan melangkah ke salah satu dinding kosong untuk mengamati lebih dekat keadaan ruang tanpa pintu ini.

Dinding putih itu kosong persis otak kau yang tidak punya idea tentang kewujudan ruang empat penjuru ini. Seolah-olah kau dikurung di dalam satu kotak pandora tak berpintu.

Tempat ini seolah-olah boleh membaca fikiran kau dan tidak mahu membiarkan kau bebas dari kurungan. Jika dibiarkan keadaan ini, lebih-lebih lagi tanpa makanan, lama-kelamaan kau akan mati terperangkap tanpa ada siapa pun tahu tentang kematian kau. Terkubur dalam satu ruang asing lalu membusuk bukanlah pengakhiran hidup yang kau mahukan.

Kau perlahan-lahan melangkah ke arah salah satu dinding tak berpintu. Sebaik sahaja kedua-dua telapak tangan menyentuh dinding, satu tenaga elektrik yang tinggi merenjat seluruh tubuh kau sehingga hampir merentap jantung.

Secara spontan, kau terundur-undur ke belakang, menahan betapa peritnya renjatan elektrik sehingga dunia di sekeliling kau seakan berpusing. Dinding empat penjuru itu bergerak liar ke semua arah — atas, bawah, kiri dan kanan, dengan kelajuan yang menyesakkan.

Dampak renjatan elektrik tadi begitu aneh. Namun, apa yang berlaku kepada diri kau kini adalah nyata. Mungkin, pengakhiran kau lambat lagi. Kemudian, kau diserang vertigo yang meloyakan dalam satu masa yang agak lama.

Sampailah pada satu detik, putaran ruang empat penjuru itu berhenti. Kepala kau perlahan-lahan tenang sebelum kau menyedari diri kau sekarang sedang berada di suatu tempat yang lain.

Raungan air terjun menyusur menghentam batu, menyerang gegendang telinga. Suara kanak-kanak dan orang dewasa girang bermain air menyapa. Jelas pada pandangan, beberapa orang tak kira lelaki atau perempuan dalam pelbagai peringkat umur sedang bergembira menikmati keindahan alam.

Di satu sudut, seorang kanak-kanak lelaki mencuri perhatian kau. Lalu, kau menapak mendekati kanak-kanak itu. Seolah-olah ada satu daya tarikan magnet yang memaksa kau untuk mendekatinya.

Kegembiraan jelas terpancar pada wajahnya di saat seorang lelaki dewasa yang diyakini adalah ayahnya, sedang menunjukkan dia cara berenang yang betul.

Tidak semena-mena, kebahagiaan itu meresap jauh dalam sanubari sehingga kau dapat merasa betapa seluruh badan kau kesejukan disulami air semulajadi itu. Jiwa kau dan dia seolah-olah sedang bersatu, berkongsi detik bahagia yang mungkin tak akan pernah berulang lagi pada lain waktu.

“Ah, alangkah indahnya kalau aku boleh kembali menjadi kanak-kanak riang yang hanya tahu berhibur tanpa memeningkan kepala dengan hal dunia yang mencabar pada usia dewasa,” getus hati kau.

Tiba-tiba, kanak-kanak itu seperti mendengar rintihan hati kau lalu memandang tepat ke dalam mata kau. Pandangan mata yang bertembung itu menzahirkan satu rasa aneh, seolah-olah dua manusia berbeza dimensi sedang berkomunikasi dalam teleportasi. Sedangkan ruang kiub ini adalah hologram yang memisahkan sempadan di mana kau berada dengan tempat kanak-kanak itu bermain.

Tanpa disangka, kanak-kanak itu berenang dengan laju sebelum mendaki bebatuan untuk menghampiri kau. Gerakannya pantas, tidak seperti tadi. Dengan sekelip mata sahaja dia sudah berada betul-betul di hadapan dinding hologram yang memisahkan dunianya dengan dunia kau. Dengan pantas tangan itu menghempas air ke arah kau di sebalik hologram.

Tindak balas refleks membuatkan kau terundur dan memejamkan mata untuk beberapa detik. Perlahan-lahan kau membuka mata. Suasana yang tadinya memaparkan air terjun nan damai, kini bertukar menjadi sebuah bilik berdinding biru laut.

Di sebalik pintu, muncul seorang remaja lelaki menapak ke arah katil. Wajahnya penuh keceriaan. Di dalam tangannya tersemat medal emas.

Kemudian, dia melepaskan beg sandang sebelum diletakkan di sisi katil. Medal yang baru diperolehnya, digantung bersama medal-medal lain di dinding. Kemudian, dia mengambil sesuatu dari dalam beg.

Sebiji bola petanque dikeluarkan sebelum dihadapkan bersama medal yang tergantung. Tangan kiri yang memegang telefon mengambil gambar sebiji bola petanque yang berlatarkan medal tergantung kemas pada dinding.

Kau boleh merasa betapa gembiranya seorang remaja lelaki memperoleh kejayaan dalam sukan yang sangat dia minati. Remaja tersebut tersenyum puas sambil memuat naik gambar yang diambilnya sebentar tadi ke dalam TikTok. Bukan tujuan untuk membangga diri, tetapi lebih kepada penghargaan untuk diri sendiri.

Tok, tok, tok. Ketukan pintu bilik yang tidak terkatup sepenuhnya mencuri perhatian kau. Lelaki tadi turut mematikan geraknya. Seorang wanita berbaju kelawar masuk ke dalam bilik tidurnya.

Wajah wanita tersebut berseri-seri dengan senyuman yang manis. Dia menapak ke arah remaja lelaki itu lalu duduk di sisinya di atas katil. Tangan wanita itu sempat mengambil medal emas yang baru menjadi milik remaja lelaki itu.

“Ibu bangga dengan kamu. Setiap kali balik dari apa-apa acara sukan, lebih-lebih lagi pertandingan petanque, anak ibu ni mesti akan bawa balik medal,” ujar wanita itu tulus. Tangan kanan mengusap kepala anaknya dengan lembut. “Beginilah anak muda. Gunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Buat sesuatu yang boleh memuaskan hati dan cipta memori, agar satu hari nanti ada cerita yang boleh disampaikan kepada anak cucu.”

Nasihat itu walaupun bukan ditujukan kepada kau, tetapi setiap butir bicara yang keluar dari wanita itu meresap jauh dalam sanubari sehingga menjentik rasa cemburu terhadap keakraban mereka.

Namun, kau harus berpijak pada dunia yang nyata. Bahawa kau sekarang hanya diperlihatkan sisi bahagia seorang remaja. “Kenapa?” kata-kata itu kau lontarkan tanpa kau menyedari manik-manik air mata jatuh ke pipi.

Kelakuan itu membuatkan dua beranak tadi memandang tepat ke arah kau. Sekali lagi keanehan menerpa tanpa jawapan yang pasti.

Kehadiran kau seperti disedari walaupun pada hakikatnya kau sedang menonton mereka dari dalam kiub yang memancarkan hologram.

Remaja lelaki itu kemudian bangkit dari katil. Sebiji bola petanque berada dalam genggamannya. Dia berdiri menghadap kau dengan pandangan yang menyala-nyala.

Seolah-olah mahu menghamburkan amarah yang sudah lama terpendam. Tidak semena-mena, remaja lelaki tersebut membaling bola petanque ke arah kau yang masih pegun di sebalik dinding hologram.

Mata dipejam dengan harapan bola lontaran itu tersasar walaupun dia bukan calang-calang orang. Apabila kau buka mata kembali, suasana bilik itu bertukar semula menjadi ruang kiub yang berbumbung infiniti. Kali ini, kau menghadap dinding yang ketiga.

Buat masa sekarang, paparan hologram yang menjelajah kehidupan dua lelaki berbeza umur terhenti seketika. Kau menarik nafas dalam sebelum menghela panjang. Hati kau terdetik, tentang persoalan logik ruang ajaib ini membawa kepada kehidupan dua zaman yang cukup meresap dalam jiwa sehingga kau merasa cemburu.

Ahh! Mereka cuma budak kecil yang masih mentah. Tapi, kegembiraan pada raut wajah mereka begitu ketara, menampakkan betapa indahnya hidup pada zaman kanak-kanak dan remaja.

Diasak oleh persepsi sedemikian, kau merasa perlu untuk melihat apakah yang terjadi pada lelaki itu tadi apabila meningkat dewasa. Kegembiraan mereka membuatkan kau ketagih untuk merasainya lagi dan lagi.

Justeru, kau merapati dinding yang ketiga dan menyentuhnya dengan harapan agar dipertontonkan lembaran baru yang mungkin lebih membahagiakan.

Seperti tadi, sebaik sahaja kau menyentuh dinding, ruang empat persegi ini akan berputar dengan laju. Kepala kau berasa pening mengalahkan vertigo. Tubuh kau terasa seperti menjunam dari tempat yang tinggi ke satu tempat yang belum dapat dipastikan.

Ketika kau membuka mata, kau melihat seorang pemuda yang kau yakin adalah orang yang sama muncul setiap kali bertukar dinding. Yang membezakan, mungkin umur.

Kali ini, pemuda itu membelakangi kau. Dia sedang memperbaiki motosikalnya di luar rumah. Ada beberapa alat untuk menyelenggara motosikal di sekeliling.

“Sudah-sudahlah buang duit dengan modified motor ini. Pagi petang siang malam asyik nak menghadap motor saja 24 jam! Sampai habis semua duit kau dengan motor ini,” satu suara milik seorang lelaki dewasa muncul dari arah pintu.

“Biarlah ayah. Saya buat semua ini dengan duit keringat saya sendiri. Bukan saya minta duit dari ibu dan ayah pun,” jawab pemuda itu tanpa memandang ke arah ayahnya.

“Sampai bila kau nak jadi macam ini? Orang lain pun ada juga motosikal. Tak ada nya heboh nak tayang satu dunia. Ubah ekzos motor, lepas tu membunyikan enjin motor kuat-kuat macam motor kau seorang saja yang paling power dalam kampung ini.”

Kau menelan liur. Situasi sekarang sangat jauh berbeza berbanding sebelum ini. Pemuda itu tak pernah melawan kata orang tua. Pemuda itu tak pernah meninggikan suara kepada ibu bapanya. Kau yakin itu adalah orang yang sama. Tapi kenapa semakin dia dewasa, semakin dia berubah.

Vromm! Vroomm!

Di luar pagar, ada tiga orang pemuda baru sampai bersama tiga motosikal yang berbeza. Lalu kau alihkan pandangan kepada pemuda tadi. Dia sedang mengemas kembali barang-barang tanpa mempedulikan ayah yang dari tadi bercekak pinggang memandangnya. Ketibaan kawan-kawan dilihat sebagai satu escapism.

“Nak bersiap pergi ke mana pula ini? Nak melepak dengan budak-budak motor ini lagi?” jerkah ayahnya, membuatkan ketiga-tiga kawan tadi terpempam.

“Mat motor bukan mat pet, ayah. Kami tak kacau orang pun. Kami tak ambik dadah,” balas pemuda itu selamba sebelum punggungnya dilabuhkan di atas seat motosikal. Kunci diputar. Throttle dipulas.

Menghasilkan bunyi yang membingitkan, berlegar-gelar di ruang luar rumah. Berdesing menusuk gegendang telinga.

Tidak berapa lama kemudian, ibu pemuda itu keluar dari rumah lalu berdiri di sebelah ayahnya dengan wajah kebingungan. Dia melihat suaminya membebel dan anaknya asyik menggerumkan motorsikal sebelum berlalu pergi meninggalkan pasangan suami isteri itu tanpa berkata apa-apa.

“Tengoklah anak awak itu. Belum habis lagi saya cakap, dia dah pergi macam itu saja,” bebel si ayah apabila anaknya mula hilang dari pandangan.

“Biarlah dia bang, dia nak melepak dengan kawan-kawan dia. Nanti dia baliklah,” jawab ibu.

“Inilah masalah awak. Dari dulu lagi asyik manjakan anak kesayangan awak itu. Tengoklah apa jadi sekarang. Semua duit simpanan dia, duit yang dia dapat menang main petanque masa sekolah dulu, habis digunakan untuk modified motor entah apa-apa.

Sejak berkawan dengan budak-budak motor itulah dia jadi macam ni,” hambur si ayah sebelum dia masuk ke dalam rumah, meninggalkan isterinya yang masih kaku memandang ke arah anaknya yang sudah hilang dari pandangan.

Air muka seorang ibu ada satu perasaan sayu yang sukar untuk digambarkan. Bayangkan, anaknya dahulu menjadi kebanggaannya.

Kejayaan demi kejayaan dicapai sehingga mencipta nama di persada negara. Tetapi kini terjerumus ke dalam kancah sosial yang mengkhayalkan.

Kalau tubuh kau boleh melepasi dinding hologram ini, mahu saja kau pergi ke arah pemuda tadi. Kau boleh pilih dua pilihan yang kau rasakan terbaik untuk mengubah segalanya.

Pertama, kau cari pemuda itu lalu menasihatinya agar tidak berkasar pada orang tua serta jangan terlalu ikutkan emosi. Kedua, kau menghampirinya dan membelasah pemuda itu secukup-cukupnya agar dia tahu erti penyesalan.

Namun, semua itu hanya bermain dalam fikiran kau. Hakikatnya, kau hanya mampu melihat dalam ruang hologram tanpa dapat berbuat apa-apa untuk memperbaiki keadaan.

Tiba-tiba wanita itu mengalihkan pandangan tepat ke dalam mata kau. Pandangan yang meresap dalam sanubari, menusuk jiwa — seperti meraih simpati agar kau dapat menyelami hati seorang ibu.

Semakin lama, matanya semakin sayu. Tidak berkedip, sehingga kau tidak mampu menahan gejolak hati sebelum dunia kembali berputar. Menggoncang ruang asing ini sehingga pandangan menjadi seperti siaran televisyen yang rosak.

Satu frekuensi yang membingitkan menusuk gegendang telinga. Tidak tertahan dengan bunyi yang bising itu, kau mendekapkan telinga sambil memejamkan mata sebelum kau terduduk melutut. Melawan segala kekusutan yang belum berakhir.

Apabila kau membuka mata setelah kebingitan itu hilang, kau kini kembali dalam ruang empat penjuru yang asing. Masih menghadap dinding yang ketiga.

Sekarang, cuma tinggal satu dinding saja lagi yang kau belum sentuh. Perlukah kau menyambung kembali sensasi aneh itu semata-mata untuk melihat apa yang berlaku kepada pemuda yang kau tidak kenali?

Siapa tahu, dinding terakhir ini adalah jalan keluar kepada kekalutan dan ketidakpastian yang mengurung kau di sini?

Dengan perasaan yang berbaur, kau menyentuh dinding sambil memejamkan mata. Seperti biasa, dunia terasa berputar sebelum kembali seperti sediakala. Sebaik sahaja kau membuka mata, kau mendapati diri kau sedang berdiri di sebuah lebuh raya pada waktu malam.

Vroom! Vroom! Vroomm!

Bunyi motosikal yang membingitkan menenggelamkan kelesuan malam. Ada juga beberapa buah kereta yang menggunakan jalan itu tetapi tidak banyak. Sejumlah motosikal pelbagai jenama pula melintasi kau.

Masing-masing menunggang laju dengan pelbagai gaya. Ada yang menunggang biasa, tapi masih laju. Ada yang memakai helmet terbalik. Beberapa buah motosikal berani mati menunggang dengan bahaya, melakukan aksi yang tidak wajar.

Menunggang dengan satu tayar — tayar belakang di atas jalan manakala tayar depan tidak menjejak tanah. Ada juga yang membuat aksi seperti Superman, meniarap di atas motor sambil memeres motosikal dengan laju. Langsung tak takut mati!

Tanpa disangka-sangka, perkara buruk yang berlegar dalam fikiran berlaku di depan mata. Sebuah motosikal telah hilang kawalan lalu melanggar sebuah lagi motosikal di hadapan.

Hanya kerana sebuah motosikal, hampir semua motosikal yang lain menjadi mangsa. Ada yang meneruskan perjalanan meninggalkan mangsa kemalangan, ada yang berhenti di tepi jalan untuk melihat keadaan.

Kau berlari ke arah sebuah motosikal yang kau sangat kenal. Penunggangnya terjatuh beberapa meter dari motosikalnya. Dengan debaran yang menghentak dada, kau melihat penunggang itu terbaring kaku dengan darah yang berselerak di atas jalan. Penutup muka helmet yang terbuka menyerlahkan wajah penunggang.

Kau tergamam. Masa seolah-olah terhenti. Suara-suara gamat yang berlegar-legar kini ditelan kesunyian. Kau hanya berdiri dalam dunia sendiri. Rasa kecewa bergelut dalam diri kerana tidak sempat berbuat apa-apa untuk menegur pemuda itu.

Tak sangka, malam ini dia tewas di atas jalan raya. Keadaan dia sangat teruk. Entah masih bernyawa atau tidak, kau tak dapat nak pastikan kerana kau hanya menonton dalam ruang hologram yang absurd.

Entah kenapa hati kau sebak. Kerongkong terasa perit. Air mata merambu keluar. Tak dapat menahan pilu yang membungkam melihat keadaan yang begitu menyayat hati.

Tidak jauh dari tempat kau, terdapat cermin sisi yang tertanggal dari motosikal pemuda itu. Pantulan dari cermin memaparkan wajah kau yang sebenar ketika ini. Dengan bantuan lampu jalan, kau boleh nampak wajah sayu yang berendam air mata.

Namun, perkara yang lebih mengejutkan adalah wajah kau sama dengan pemuda itu. Kau toleh ke arah pemuda itu dengan cermin sisi bersilih-ganti.

Dalam situasi yang kompleks, perlahan-lahan segala memori kembali bergentayangan dalam minda.  Selama ini, kau terkurung dalam ruang tiga dimensi yang membawa ke masa lalu. Memperlihatkan fasa-fasa kehidupan yang perlahan-lahan mengubah sikap kau sehingga menjadi seperti ini.

 Adakah kau sebenarnya roh yang sudah keluar dari jasad? Arghhh! Adakah kau sudah terlambat untuk mengubah segalanya?

Tidak ada sesiapa pun dapat menjawab segala ketidakpastian yang sedang berlaku. Lalu, kau berundur ke belakang, berteriak sekuat mungkin, menghamburkan kekesalan dan kekecewaan.

Lutut yang sudah bergetar membuatkan kau rebah terbaring menghadap langit. Merenung malam terakhir sebelum ajal menjemput. Air mata yang tidak berhenti mengalir menggelapkan pandangan sebelum kau pejamkan mata, mencuba sebaik mungkin untuk menerima pengakhiran penuh tragik.

***

Perkara pertama yang kau sedar sebaik sahaja mata dibuka adalah, tidak ada lagi ruang empat penjuru yang begitu kompleks. Kau hanya berbaring menghadap bumbung putih.

Perlahan-lahan mata kau cuba membiasakan keadaan sekeliling. Kepala tidak dapat ditoleh ke kiri dan ke kanan kerana ada sesuatu yang melekat pada tengkuk. Deru nafas kedengaran menerusi corong ventilator. Dada berombak lemah melawan bunyi bip ventilator.

Apabila mata mula serasi dengan ruang asing ini, kau cuba menggerakkan mata ke kanan. Ada seorang wanita berwajah sembab memandang sayu ke arah kau. 

Manakala di sebelah kiri pula seorang lelaki menatap kau tanpa berkata apa-apa. Kau cuba mencerna apa yang baru saja berlaku sebelum perlahan-lahan air mata kau mengalir.

Wanita tadi iaitu ibu kau, memeluk tubuh yang sedang berbaring bersama juraian air mata. Dakapan itu cukup kuat untuk membuktikan bahawa, setelah segala yang kau lalui selama jiwa berada di tengah-tengah garis kehidupan dan kematian, sekurang-kurangnya kau masih diberikan kesempatan untuk memperbetulkan keadaan.

Oleh Mohd Firdaus Dahlan

Continue Reading

Previous: Sajak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.