KUCHING: Sebanyak 591 institusi pendidikan melibatkan 197,323 murid di Sarawak ditutup sementara berkuat kuasa serta-merta hari ini dan esok susulan keadaan jerebu yang menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa lokasi mencapai tahap tidak sihat.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan rasmi memaklumkan penutupan itu membabitkan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di lima bahagian, iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong.
Di bahagian Kuching, daerah yang terlibat ialah Kuching, Padawan, Bau dan Lundu, manakala di bahagian Samarahan membabitkan Samarahan dan Simunjan.
Bahagian Serian pula membabitkan Serian, diikuti Sri Aman dan Lubok Antu bagi bahagian Sri Aman, manakala Betong bagi bahagian Betong.
Secara keseluruhan, penutupan itu membabitkan 509 sekolah rendah dengan 107,590 murid serta 82 sekolah menengah melibatkan 89,733 murid.
JPN Sarawak memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan IPU yang direkodkan setakat 3.00 petang, selain mengambil kira aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid serta warga institusi pendidikan.
Penutupan sementara itu berkuat kuasa pada 20 hingga 21 Ogos 2026, dengan sebarang perubahan atau perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
JPN Sarawak turut mengingatkan pihak sekolah supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keadaan jerebu dan cuaca panas, selain sentiasa mengutamakan kesihatan murid serta guru.
Institusi pendidikan juga diminta memantau bacaan IPU melalui Air Pollutant Index Management System (APIMS) Jabatan Alam Sekitar serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa.
JPN Sarawak menegaskan pihaknya mengambil berat aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya sepanjang tempoh berdepan keadaan jerebu.
Oleh Afiq Sallehi





